SOAL JAWAB ZAKAT: BAYAR ZAKAT KE LUAR KAWASAN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » SOAL JAWAB ZAKAT: BAYAR ZAKAT KE LUAR KAWASAN

SOAL JAWAB ZAKAT: BAYAR ZAKAT KE LUAR KAWASAN

SOAL JAWAB ZAKAT: BAYAR ZAKAT KE LUAR KAWASAN

Q: Ustaz, ramai juga yang tanya adakah mereka boleh membayar zakat ke negeri lain atau di luar kawasan mereka tinggal? Hari ini ramai juga yang beri zakat ke luar negara atas pelbagai maksud. Bolehkah perbuatan berkenaan di sisi syarak?

 

Jawapan:

  • Isu membayar zakat ke negeri lain tak pernah berlaku sehinggalah ke zaman Umar al-Khattab.
  • Berlaku musim kemarau dahsyat di Madinah sehingga penduduknya kebuluran.
  • Muadz bin Jabal yang menjadi gabenor dan amil di Yaman telah menghantar bantuan zakat ke Madinah. Umar pada mulanya menolak malah memarahi Muadz kerana perbuatannya itu bercanggah dengan hadis nabi.
  • Namun Muadz berhujah, penduduk Yaman sudah berada dalam keadaan serba cukup dan yang memerlukan bantuan adalah penduduk Madinah. Maka, sebab itulah beliau menghantar bantuan zakat ke Madinah.
  • Akhirnya Umar menerima hujah itu dan menerima bantuan berkenaan, malah telah memerintahkan gabenor lain di pelbagai wilayah Islam untuk menghantar bantuan ke Madinah.
  • Ertinya penyaluran zakat ke tempat lain bukanlah dibuat secara suka-suka, melainkan kerana ada tiga alasan: (1) Penduduk asal negeri sudah berkecukupan; (2) Berlakunya keperluan yang mendesak di tempat luar; (3) Ia diaturkan oleh pemerintah (G to G) demi maslahah rakyat. (Rujuk Dr. Yusuf Qaradawi, Hukum Zakat, hal. 802).
  • Dalam konteks amalan semasa di Selangor khususnya, penyaluran harta zakat ke luar Selangor memang berlaku namun ia dilakukan oleh pihak pengurusan zakat atas keizinan pemerintah (MAIS dan juga DYMM) menerusi pemantauan fatwa dan Lembaga Pemegang Amanah LZS.
  • Negeri atau negara luar yang menerima santunan zakat itu pula adalah tempat yang menerima musibah, misalnya banjir besar, tsunami dan bencana akibat peperangan dan sebagainya.
  • Dalam konteks ini, perpindahan harta zakat itu berlaku dalam kawalan yang sangat ketat dan ia juga dipastikan sampai kepada mereka yang berhak dengan selamat.
  • Hal ini sama seperti mana yang dilakukan oleh Muadz bin Jabal ketika mana menghantar harta zakat dari Yaman ke Madinah, iaitu dipastikan sampai ke tangan pemerintah Madinah dengan selamat, dan kemudiannya diagihkan kepada penduduk Madinah yang kelaparan.
  • Apa yang menjadi isu hari ini ialah pihak individu yang bertindak menyerahkan zakat mereka secara langsung, tanpa mengambil kira adakah harta zakat itu masih diperlukan di sekeliling mereka, di samping adakah tempat yang disalurkan zakat itu berada dalam keadaan sangat memerlukan, serta adakah zakat itu benar-benar diserahkan kepada badan yang berautoriti dan bertanggungjawab sehingga benar-benar sampai kepada yang memerlukan.
  • Kesimpulannya, utamakanlah arahan ulil amri dan juga keputusan fatwa bahawa zakat perlu diserahkan di dalam negeri kepada badan yang berautoriti (LZS) dan jika ada keperluan di luar negeri, maka biarlah pihak yang berautoriti memutuskan adakah zakat benar-benar perlu disalurkan ke sana ataupun tidak.

Tarikh Input: 30/09/2022 | Kemaskini: 27/02/2023 | mazrol

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdUAc~