Institusi Wakaf Mampu Tingkat Ekonomi Pasca COVID-19 | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Institusi Wakaf Mampu Tingkat Ekonomi Pasca COVID-19

Institusi Wakaf Mampu Tingkat Ekonomi Pasca COVID-19

Hampir dua juta manusia dijangkiti COVID-19 dan angka ini semakin meningkat. Senario ini nyata amat membimbangkan seluruh umat manusia, termasuklah kita di Malaysia. Pandemik COVID-19 menyerang habis-habisan benteng ekonomi sehingga litar aliran ekonomi negara merudum dan mencemaskan.
 
Dalam hal ini mereka yang terkesan teruk adalah kumpulan buruh khususnya kalangan B40 dan M40 yang terbabit sektor tidak formal dan berskala kecil disebabkan 'terputus sumber pendapatan'. Dalam konteks perburuhan (sumber manusia) secara global, buruh selaku ejen penggerak kepada sektor ekonomi, terkesan dan tidak bermaya lagi untuk berfungsi sepertimana kebiasaannya. Keterbatasan pergerakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak terhenti pada satu tahap tertentu sahaja di mana gelombang yang merencatkan ini akan semakin membesar dan saling bertimpa. Inilah yang dikenali sebagai 'arus lingkaran kegiatan ekonomi'.
 
Beberapa penganalisis ekonomi meramalkan dalam tempoh yang singkat ini sekitar 2.4 juta orang akan mengalami kehilangan pekerjaan di Malaysia. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar penyertaan tenaga buruh pada Februari tahun ini mula menunjukkan penurunan iaitu 0.2 mata peratus kepada 68.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.
 
Peningkatan kadar pengangguran akibat penularan COVID-19 dijangka memberi kesan bermula April atau Mei. Pastinya pengangguran tidak ketara dan pengangguran kitaran, mendominasi kumpulan penganggur kesan pandemik COVID-19. Insiden pemberhentian sementara atau pemberhentian kekal terhadap sebilangan pekerja mungkin berlaku.
 
Dalam konteks Malaysia secara umumnya industri yang terkesan adalah 70 hingga 80 peratus membabitkan penggiat dalam sektor berkaitan industri kecil dan sederhana (IKS). Di samping itu, sektor utama negara turut terjejas di mana terdapat lambakan hasil pertanian dan perikanan akibat terputusnya rantaian pengagihan, ketiadaan pekerja dan penutupan operasi sektor sokongan akibat PKP. Dalam jangka masa pendek, keadaan ini juga mengganggu permintaan dan penawaran agregat barangan dan permintaan dalam pasaran.
 
Bagi menangani kemelut ini, intervensi institusi waqaf dilihat sangat penting. Asas kepada pelaksanaan sistem waqaf bertujuan meningkatkan pembangunan sosioekonomi masyarakat. Dalam masa sama, amalan waqaf dalam sistem ekonomi adalah satu proses pembentukan keimanan agar masyarakat Islam secara umumnya memiliki kekentalan mental dan spiritual serta berdaya saing dalam hal kemakmuran dan kesejahteraan kehidupan dunia dan akhirat.
 
Secara umumnya, takrifan waqaf ialah mengapungkan harta untuk dikhususkan kegunaan manfaatnya oleh pihak tertentu yang dinyatakan pembuat waqaf. Hasrat dan objektif utama waqaf ialah untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Perkataan waqaf itu sendiri berasal daripada perkataan Arab 'waqafa' yang bermaksud berhenti, diam di tempat, menegah dan menahan atau tetap berdiri. Dalam konteks ekonomi, ia alat pengagihan semula pendapatan atau kekayaan daripada orang yang berada kepada golongan miskin yang akhirnya memberi impak pengganda yang bernilai tinggi. Pengagihan semula ini juga berupaya menerokai dan merungkai banyak peluang ekonomi yang baharu.
 
Institusi waqaf antara yang seharusnya menjadi barisan hadapan menangani krisis ekonomi yang melanda masyarakat yang memerlukan. Dalam usaha memenuhi keperluan kebajikan ummah, institusi waqaf semestinya berfungsi dan diurus tadbir untuk memenuhi keadaan yang gawat seperti dialami ketika ini. Walaupun keterlihatan sumbangan waqaf dan dana zakat di setiap negeri turut bersama dalam misi kemanusiaan ketika ini, kebolehcapaian dan kapasitinya amat terbatas.
 
Dalam krisis yang berlaku, institusi waqaf mempunyai banyak kelebihan berbanding dengan syarikat multinasional (MNC) yang ada di dunia. Dalam konteks Malaysia sendiri, nilai harta waqaf itu jika disatukan, dari segi saiz dan modalnya bernilai trilion ringgit. Nilai yang berskala besar ini tentunya bersamaan kalau tidak pun melebihi mana-mana pegangan ekuiti MNC yang wujud. Justeru, institusi waqaf itu sendiri satu konglomerat patuh syariah yang mampu menyaingi kehebatan urus niaga MNC.
 
Posisi waqaf perlu berada di tempat yang relevan serta diperkasa dan digerakkan bersesuaian dengan sifat dan matlamat waqaf itu sendiri. Dengan yang demikian institusi waqaf dapat berperanan dalam membantu mengurangkan beban fiskal negara dan isu sosioekonomi ummah. Akibat wabak ini, sosioekonomi masyarakat menjadi keutamaan agar dasar dan strategi yang dilaksanakan berupaya mendepani keperluan masyarakat dan pada masa yang sama, berusaha untuk membendung ekonomi daripada kemelesetan.
 
Menyelami maksud waqaf, ia juga salah satu cara untuk seseorang hamba itu menunjukkan kesyukuran atas nikmat yang dikurniakan Allah SWT.
Maka kesediaan institusi waqaf dan berkaitan amatlah bertepatan pada waktu dan ketikanya. Secara tidak langsung, banyak yang boleh dipelajari daripada fenomena COVID-19 yang melanda ini, di mana asas ekonomi global yang berteraskan sistem kapitalis dan sosialis memiliki banyak kelemahan dan keterbatasan.
 
Penulis:
Prof Datuk Dr Kasim Md Mansur
Dekan Fakulti Perniagaan
Ekonomi dan Perakaunan Universiti Malaysia Sabah (UMS)
 
petikan artikel di https://www.bharian.com.my/kolumnis/2020/07/712433/institusi-wakaf-mampu-tingkat-ekonomi-pasca-covid-19

Tarikh Input: 12/08/2020 | Kemaskini: 12/08/2020 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXESOA4~