INFAQ RAMADHAN BUKA PINTU REZEKI | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » INFAQ RAMADHAN BUKA PINTU REZEKI

INFAQ RAMADHAN BUKA PINTU REZEKI

INFAQ RAMADHAN BUKA PINTU REZEKI
Disediakan oleh: WAN MOHD RADZI WAN ISMAIL, wm_radzi@upm.edu.my
 
Jangan malas bersedekah, tak perlu tunggu Ramadan. 5 janji ALLAH orang  rajin sedekah - Sinar Islam Plus
 
RAMADAN adalah bulan yang meghiburkan hati orang mukmin yang mengetahui hakikat sebenar. Padanya, beribu keutamaan yang ditawarkan di bulan Ramadhan, pahala berganda, keampunan Allah kepada hamba-Nya yang mengharapkan.
 
Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk melipat gandakan pahala di bulan Ramadhan adalah melalui berinfaq. Amalan ini amat dianjurkan oleh Islam, lebih-lebih lagi di bulan Ramadhan yang penuh barakah ini. Allah dan Rasul-Nya amat mengasihi kepada umat Islam yang dermawan serta pemurah. Sesungguhnya kedermawan adalah salah satu sifat Allah Ta’ala, sepertimana hadis yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah Ta’ala itu Maha Memberi, Ia mencintai kedermawan serta akhlak yang mulia, Ia membenci akhlak yang buruk”. (HR. Al Baihaqi)
 
Selain itu, sifat dermawan jika di dukung dengan kefahaman agama dengan baik, sehingga terkumpul dua sifat iaitu alim dan juud (dermawan), akan dicapai kedudukan hamba Allah yang paling tinggi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dunia itu untuk 4 jenis hamba: Hamba yang diberikan rezki oleh Allah serta kefahaman terhadap ilmu agama. Ia bertaqwa kepada Allah dalam menggunakan hartanya dan ia digunakan untuk menyambung silaturrahim. Dan ia menyedari terdapat hak Allah pada hartanya. Maka inilah kedudukan hamba yang paling baik”. (HR. Tirmidzi)
 
Dalam banyak-banyak amalan kebaikan, akan ada manusia ketika di dunia dulu sangat berat untuk bersedekah. Namun, Ketika menghadapi saat kematiannya, dia merayu kepada Allah supaya ditangguhkan seketika supaya dia dapat berbuat demikian. Manusia hanya akan tahu kehebatan dan ketinggian amalan sedekah itu selepas mereka meninggal dunia. Sedekah digambarkan sesuatu yang sangat luar biasa.
 
Mengikut perkiraan asas matematik, apabila satu tolak satu, maka hasilnya adalah kosong. Bagaimanapun, tidak bagi amalan sedekah kerana perkiraan (1-1) itu akan jadi 10 sehingga 700.
Allah berfirman yang bermaksud: “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah, ayat 261)
 
Demikian besarnya ganjaran pahala dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang bersedekah dan berinfak di jalan Allah. Bersedekah dan berinfak tidak akan sesekali menyebabkan harta seseorang itu semakin berkurangan, namun ia dapat memperkayakan hati, membersihkan harta, memanjangkan usia serta melancarkan rezeki yang dikurniakan Allah. Sebab itu, bagi menyelesaikan pelbagai masalah dalam kehidupan kita hari ini, sedekah adalah jalan penyelesaiannya.
 
Contohnya, jadikan amalan setiap kali pergi ke masjid, sebelum atau selesai solat kita derma dalam tabung masjid. Walaupun jumlah atau nilainya sedikit namun kesusahan kita mengeluarkan itu yang dinilai Allah.
 
Rasulullah SAW, teladan terbaik bagi kita, beliau adalah orang yang paling dermawan, dan kedermawanan beliau lebih dahsyat lagi di bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas RA. bermaksud: “Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus”. (HR. Bukhari)
 
Namun bulan Ramadhan merupakan momen yang istimewa sehingga beliau lebih dermawan lagi. Bahkan dalam hadis, kedermawanan Rasulullah SAW dikatakan melebihi angin yang berhembus. Diibaratkan demikian kerana Rasulullah SAW sangat ringan dan cepat dalam memberi, tanpa banyak berfikir, sebagaimana angin yang berhembus cepat. Dalam hadis juga angin diberi sifat ‘mursalah’ (berhembus), mengisyaratkan kedermawanan Rasulullah SAW memiliki nilai manfaat yang besar, bukan asal memberi, serta terus-menerus sebagaimana angin yang baik dan bermanfaat adalah angin yang berhembus terus-menerus. Penjelasan ini disampaikan oleh Ibnu Hajar Al Asqalani dalam Fathul Bari.
 
Oleh kerana itu, kita yang mengaku meneladani beliau sudah selayaknya memiliki semangat yang sama iaitu semangat untuk sering bersedekah, lebih banyak dan lebih bermanfaat di bulan Ramadhan melebihi bulan-bulan lainnya.
 
Salah satu sebab Rasulullah SAW memberi teladan untuk lebih bersemangat dalam bersedekah di bulan Ramadhan adalah kerana bersedekah di bulan ini lebih dahsyat dibanding sedekah di bulan lainnya. Diantara keutamaan sedekah di bulan Ramadhan adalah:
 
  1. Puasa digabungkan dengan sedekah dan solat malam sama dengan jaminan syurga
  2. Mendapatkan tambahan pahala puasa dari orang lain
  3. Bersedekah di bulan Ramadhan lebih dimudahkan
 
Salah satu keutamaan bersedekah di bulan Ramadhan adalah bahawa di bulan mulia ini, setiap orang lebih dimudahkan untuk berbuat amalan kebaikan, termasuk sedekah. Tidak dapat dinafikan bahawa pada dasarnya manusia mudah terpedaya godaan syaitan yang sentiasa mengajak manusia meninggalkan kebaikan, sehingga manusia enggan dan berat untuk beramal. Namun di bulan Ramadhan ini Allah mudahkan hamba-Nya untuk berbuat kebaikan, sebagaimana dikhabarkan oleh Rasulullah SAW bermaksud,” Jika datang bulan Ramadhan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu”. (HR. Bukhari dan Muslim)
 
Pada realitinya kita melihat sendiri betapa suasana Ramadhan begitu berbezanya dengan bulan lain. Orang-orang bersemangat melakukan amalan kebaikan yang biasanya tidak ia lakukan di bulan-bulan lainnya.
 
Justeru, setiap apa yang diperintahkan Allah itu pasti ada manfaatnya. Bila Allah menyuruh hamba-Nya melakukan sesuatu sama ada dalam bentuk wajib atau sunat,  walaupun pada awalnya dilihat begitu sukar, jika dilakukan pasti ada kemanisan pada akhirnya.
 
Ingatlah, segala harta dunia yang kita pakai atau pegang ketika ini belum tentu menjadi milik kita. Yang pasti, setiap sen atau harta diinfakkan di jalan Allah itu akan menjadi pelaburan di akhirat kelak di mana kebaikannya berkekalan.

Tarikh Input: 30/03/2023 | Kemaskini: 03/05/2023 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdJAF~