WAZAN SEDIA PERUNTUKAN RM20 RIBU BANTU 400 PELAJAR PULANG BERAYA | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» NEWS » WAZAN SEDIA PERUNTUKAN RM20 RIBU BANTU 400 PELAJAR PULANG BERAYA

WAZAN SEDIA PERUNTUKAN RM20 RIBU BANTU 400 PELAJAR PULANG BERAYA

Oleh Nuruliman Ibrahim

 

 

SERDANG, 25 Mei - Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia menyediakan sembilan buah bas secara percuma ke seluruh semenanjung tanah air untuk memudahkan 400 orang pelajar asnaf UPM pulang ke kampung halaman masing-masing.

Majlis ringkas pelepasan konvoi sembilan buah bas tersebut telah disempurnakan oleh YBhg Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM sekitar jam 9.00 pagi di dataran padang kawad PALAPES UPM.

YBhg Naib Canselor dalam ucapannya telah merakamkan ucapan tahniah atas kejayaan program khas JOM BALIK RAYA bersama WAZAN ini. Beliau menegaskan bahawa pihak universiti sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada setiap pelajar.

"Saya bagi pihak universiti mengucapkan selamat pulang ke kampung halaman untuk menyambut lebaran bersama keluarga tersayang. Saya mendoakan semoga perjalanan ini dipermudahkan dan selamat tiba ke destinasi masing-masing" katanya lagi.

Turut hadir sama adalah Dr. Hj. Razali Othman, Pengarah WAZAN UPM, Ustaz Zuhaimi Abdul Rahim, Ketua Seksyen Pengurusan Zakat dan Pembangunan Asnaf dan Ustaz Nuruliman Ibrahim, Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu UPM.

“Program khas JOM BALIK RAYA Bersama WAZAN ini bagi saya sangat baik dan patut diadakan pada setiap tahun menjelang akhir ramadan” ujar Muhammad Faiz yang akan pulang ke Sungai Petani.
“Saya rasa amat bertuah terpilih melanjutkan pengajian di UPM ini kerana pelbagai bantuan kewangan yang disediakan oleh pihak WAZAN UPM untuk para pelajar yang kurang kemampuan, khususnya dalam kalangan asnaf” tambah beliau.

Wan Noratikah pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan yang akan pulang ke Pasir Mas ketika ditemubual berkata, beliau sangat bersyukur dengan adanya program seperti ini yang pastinya telah membantu meringankan kos pengangkutan ramai pelajar selain memudahkan urusan perjalanan masing-masing.

Muhammad Alrazi yang akan pulang ke Johor Bahru pula berkata, saya rasa amat gembira dan sentiasa mendoakan semoga Allah SWT Menggandakan limpahan rezeki serta keberkatan kepada semua pihak yang telah menyumbang di WAZAN UPM.

 

Date of Input: 29/05/2019 | Updated: 29/05/2019 | nuruliman

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEUKAL~