WAZAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT TERLIBAT DALAM INISIATIF MELAHIRKAN ASNAF CEMERLANG | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» NEWS » WAZAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT TERLIBAT DALAM INISIATIF MELAHIRKAN ASNAF CEMERLANG

WAZAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT TERLIBAT DALAM INISIATIF MELAHIRKAN ASNAF CEMERLANG

WAZAN DUA TAHUN BERTURUT-TURUT TERLIBAT DALAM INISIATIF MELAHIRKAN ASNAF CEMERLANG
 
SERDANG: Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia (UPM) dua tahun berturut-turut terlibat dalam inisiatif melahirkan asnaf cemerlang melalui kursus pensijilan professional 3 hari Juruaudit Dalaman Bertauliah (CIA) dalam Sistem Titik Kawalan Kritikal Analisis Bahaya (HACCP) secara atas talian dengan kerjasama SIRIM STS Sdn Bhd (SIRIM) dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FOSTECH) di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan.
 
Majlis ringkas perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Dr. Hj. Razali Othman, Pengarah WAZAN, UPM, secara atas talian menggunakan aplikasi Google Meet pada 1 March, 2021. Majlis perasmian ini juga dihadiri oleh Dr Azman  Idris, Pengurus Besar Kanan, SIRIM. Melalui ucapannya, Dr. Hj Razali berkata bahawa pihak WAZAN berharap agar program yang dilaksanakan ini boleh memberi pendedahan serta pengetahuan yang diperlukan kepada para pelajar tentang pengauditan terutamanya berkenaan kualiti dan keselamatan makanan. Pihak WAZAN UPM juga berharap agar program ini menjadi salah satu pemangkin bagi mempersiapkan para pelajar UPM dengan lebih baik dalam mencapai status Industry Ready sebelum memasuki alam pekerjaan terutamanya dalam industri makanan. Dr. Haji Razali Othman juga menyatakan bahawa 50 orang pelajar yang terpilih adalah antara pelajar yang sangat bertuah kerana kursus yang diikuti dapat meningkatkan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan persijilan yang diperolehi memperakui kemahiran pelajar sebagai juruaudit dalaman dalam sistem HACCP.
 
Pengarah program, Prof. Madya Dr. Maimunah Sanny dari Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, berkata, seramai 50 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun akhir Program Bacelor Sains dan Teknologi Makanan (BSTM) dan Bacelor Sains Pengajian Makanan (BSPMK) telah berjaya menamatkan kursus tersebut yang berlangsung pada 1 hingga 3 Mac 2021.
 
’’Pengetahuan mendalam mengenai prinsip dan aplikasi sistem tersebut adalah antara modul yang diajar di dalam kursus FST4610 dan FST4824 Pengurusan Kualiti Makanan kepada pelajar prasiswazah Program BSTM dan BSPMK di Fakulti Sains dan Teknologi Makanan.” katanya.
 
Beliau berkata, kursus pensijilan professional ini dikendalikan oleh tenaga pengajar yang bertauliah daripada SIRIM yang terdiri daripada Pn. Lizawati Binti Mohamad Darwi, Pn. Farah Lanis Linda Ruslan Roos dan Pn. Nuraliza Jay Jalani. Kursus ini memberi pemahaman yang berkesan terhadap para pelajar mengenai prinsip-prinsip pengauditan bagi sistem HACCP yang merangkumi MS 1480: 2019 HACCP dan juga MS 1514: 2009 GMP. Kursus audit dalaman ini memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan para pelajar mengenai cara pengauditan dalaman di industri makanan dan cara menulis laporan secara berkesan. Pada akhir kursus, pelajar telah menduduki peperiksaan dan seterusnya akan menerima sijil yang dikeluarkan oleh SIRIM bagi mengesahkan kemahiran audit dalaman pelajar. Kemahiran audit dalaman yang dimiliki oleh pelajar BSTM dan BSPMK ini dijangkakan akan dapat meningkatkan Graduate Employability program yang ditawarkan di UPM. Majikan tidak perlu menghantar mereka bagi mengikuti kursus yang sama lagi sekali. - UPM

Date of Input: 14/04/2021 | Updated: 14/04/2021 | rizal_helmi

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdEA6~