WAZAN BANTU JAWHAR TERBITKAN MANUAL PENGURUSAN AGIHAN MANFAAT WAKAF | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» NEWS » WAZAN BANTU JAWHAR TERBITKAN MANUAL PENGURUSAN AGIHAN MANFAAT WAKAF

WAZAN BANTU JAWHAR TERBITKAN MANUAL PENGURUSAN AGIHAN MANFAAT WAKAF

 

Wakil-wakil WAZAN, JAWHAR DAN MAIN sertai Bengkel Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf (Tauzi’) di Klana Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

 

Negeri Sembilan, 12-14 Ogos – Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dengan kerjasama Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan Bengkel Penyediaan Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf yang melibatkan Majlis Agama Islam di setiap negeri.

Timbalan Ketua Pengarah JAWHAR, Encik Suhaimi Saudi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama kepada pihak WAZAN UPM atas kesudian untuk berkerjasama dalam membantu pihak JAWHAR menerbitkan Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf yang berimpak tinggi.

Dalam ucapannya lagi, beliau turut menekankan akan kepentingan penyediaan Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf yang mana boleh memberi impak yang sangat besar kepada masyarakat terutama dalam kalangan pengurus-pengurus wakaf bagi memajukan harta-harta wakaf yang diamanahkan oleh pewakaf di negara Malaysia. Beliau juga turut berharap agar manual tersebut dapat diterbitkan pada awal tahun 2021.

 

 

Bengkel yang dibimbing oleh Ustaz Nuruliman Ibrahim bersama wakil-wakil MAIN dalam penyediaan Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf (Tauzi’).

 

Sehubungan itu, Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu WAZAN UPM, Ustaz Nuruliman Ibrahim berkata, inisiatif penganjuran bengkel sebegini bertujuan untuk membantu pengurus-pengurus wakaf di seluruh negara menguruskan harta wakaf dengan adanya satu manual induk yang boleh diaplikasikan dengan mudah dan praktikal.

Menurutnya lagi, penyediaan manual tersebut sangat menjadi keperluan semasa susulan terdapat sesetengah pengurus wakaf yang masih tidak tahu tatacara pengurusan harta wakaf yang diamanahkan oleh pewakaf sehinggakan boleh mengundang kepada masalah yang tidak diingini berlaku antaranya aset wakaf menjadi terbiar dan tidak lagi mendatangkan manfaat kepada ummat.

 

 

Para peserta memberi komitmen dan sepenuh perhatian dalam usaha memantapkan kandungan Manual Pengurusan Agihan Manfaat Wakaf (Tauzi’) yang akan diterbitkan tidak lama lagi.

 

Date of Input: 29/08/2020 | Updated: 29/08/2020 | nuruliman

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdJA5~