Wakaf Pak Ngah Atan Buktikan Kepentingan Wakaf Untuk Pembangunan Warga Emas | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» NEWS » Wakaf Pak Ngah Atan Buktikan Kepentingan Wakaf untuk Pembangunan Warga Emas

Wakaf Pak Ngah Atan Buktikan Kepentingan Wakaf untuk Pembangunan Warga Emas

UPM, 31 Disember 2018 - Kepentingan wakaf begitu penting dalam pembangunan masyarakat tanpa mengira peringkat usia. Melalui Wakaf Pak Ngah Atan yang kini sedang dibangunkan oleh Universiti Putra Malaysia membuktikan bahawa kebajikan warga emas tidak pernah diketepikan. Oleh yang demikian, pihak Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dengan kerjasama daripada Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia serta Fakulti Senibina dan Rekabentuk bergabung tenaga bagi menyempurnakan rancangan pembangunan Wakaf Pak Ngah Atan. Seterusnya, rumah banglo yang telah diwakafkan oleh Hajah Hasnah di Golf Height, Seremban telah dibangunkan dengan nama “Pusat Aktiviti Harian Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan @ UPM”.

Oleh yang demikian, antara aktiviti yang bakal dijalanan di Pusat Aktiviti Harian Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan bertujuan memberikan ruang untuk warga emas menjalankan pelbagai aktiviti bersama. Antara aktiviti yang bakal diadakan adalah memasak, melukis, berkebun, permainan video dan aktiviti hiburan. Malahan, terdapat aktiviti lain berkaitan pendidikan sepanjang hayat, lawatan, simulasi kognitif, program multigenerasi, fizikal dan riadah serta saringan kesihatan. Melalui aktivtiti yang dijalankan sekali gus dapat mengekalkan gaya hidup yang sihat dan aktif kepada warga emas.

Selain itu, Pusat Aktiviti Harian Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan juga dilengkapi dengan kemudahan yang lengkap serta selesa untuk warga emas menjalankan aktiviti. Hal ini kerana, banglo tersebut dilengkapi dengan ruang tamu, ruang untuk berehat, ruang aktiviti, ruang makan, ruang rekreasi, dapur, bilik air dan tandas. Kemudian, kemudahan yang diwujudkan adalah bersifat mesra warga emas, teknologi terbantu, bersih dan selamat untuk kegunaan warga emas. Sehubungan itu, pusat ini akan beroperasi pada hari Isnin hingga Ahad juga dibuka pada cuti umum kepada warga emas yang berdaftar. Selain itu, pusat ini beroperasi bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang. Seterusnya, pusat ini akan dibuka kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai keupayaan fizikal yang baik untuk bergerak.

Oleh itu, penubuhan Pusat Aktiviti Harian Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan membuktikan bahawa pentingnya wakaf bagi membantu setiap peringkat usia mendapat manfaat daripada amanah yang telah diwakafkan oleh individu tertentu. Maka, peranan WAZAN dalam menjadi pemegang amanah wakaf merupakan elemen yang penting bagi membangunkan sesebuah institusi seperti Pusat Aktiviti Harian Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan. Malahan, kerjasama yang baik daripada pusat tanggungjawab di UPM dengan kepakaran yang dimiliki akan menjadikan Pusat Aktiviti Harian Warga Emas Wakaf Pak Ngah Atan sebagai sebuah pusat yang memberikan banyak kebaikan kepada warga emas kelak.

Date of Input: 31/12/2018 | Updated: 31/12/2018 | m.jazmi

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
B1566679087