Serdang: Sultan Selangor yang juga Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan Aidilfitri kepada 50 pelajar asnaf dalam Majlis Berbuka Puasa dan Solat Tarawih di Masjid UPM, semalam.
Penerima terdiri daripada pelajar asnaf, anak yatim, mualaf serta Orang Kurang Upaya (OKU), sekali gus mencerminkan pendekatan inklusif dan berterusan UPM dalam menyantuni komuniti kampus.
Majlis berkenaan turut menonjolkan peranan strategik Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN) UPM sebagai tunjang utama pengurusan dana kebajikan universiti.
Dalam majlis sama, Baginda berkenan menerima Dana Zakat UPM berjumlah RM10,290,426.32 yang diuruskan oleh WAZAN UPM serta pelbagai sumbangan zakat dan wakaf daripada entiti korporat, agensi dan individu.
Antara sumbangan yang diterima ialah RM450,000 daripada Lembaga Tabung Haji serta RM200,000 daripada Etiqa General Takaful Berhad, di samping zakat perniagaan dan zakat pendapatan daripada syarikat berkaitan universiti termasuk Putra Business School.
Pengarah WAZAN UPM, Haris Dahlan berkata, dana yang diamanahkan memainkan peranan penting bukan sahaja dalam membantu pelajar yang memerlukan, malah menyokong keseluruhan ekosistem pembangunan ilmu dan kesejahteraan warga universiti.
"WAZAN berfungsi sebagai neraca yang menyeimbangkan keperluan kebajikan, pendidikan dan pembangunan universiti. Dana yang disalurkan dirancang secara strategik bagi memastikan impaknya menyeluruh, mampan dan berterusan," katanya.
Beliau berkata, WAZAN yang ditubuhkan pada 1 Oktober 2016 terus diperkasa berteraskan lima prinsip utama iaitu ihsan, hikmah, adil, keseimbangan dan kecemerlangan (Al-Falah), selari dengan aspirasi universiti dalam membina kampus berdaya tahan dan berempati.
Pada majlis itu, Tuanku Canselor turut berkenan berbuka puasa serta menunaikan solat Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih bersama kira-kira 1,000 warga UPM dan komuniti sekitar.
Date of Input: 28/02/2026 | Updated: 28/02/2026 | rizal_helmi

UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR DARUL EHSAN
Open: Monday - Friday.
Close: Saturday, Sunday and Public Holiday.