PENGARAH WAZAN BENTANG KERTAS KERJA ZAKAT DI KEIZAC 2019 | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» NEWS » PENGARAH WAZAN BENTANG KERTAS KERJA ZAKAT DI KEIZAC 2019

PENGARAH WAZAN BENTANG KERTAS KERJA ZAKAT DI KEIZAC 2019

Oleh Nuruliman Ibrahim

 

Alor Setar, 6 Ogos – Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia (UPM), YBhg Dr. Haji Razali b. Othman telah hadir dan membentangkan kertas kerja di Seminar Zakat Kedah Antarabangsa 2019 (KEIZAC2019).

Seminar yang diadakan pada 5hb Ogos 2019 di Menara Zakat, Alor Setar, Kedah memberi tumpuan perbincangan dalam pengurusan zakat masa kini. Lebih 200 orang peserta termasuk daripada 10 perwakilan luar negara menghadiri seminar berkenaan.

 

Kertas kerja bertajuk, “Transformasi Agihan Zakat Pendidikan: Satu Kajian Awal di WAZAN, UPM” di bentangkan di seminar ini sebagai salah satu usaha WAZAN berkongsi pengalaman dengan pelbagai pihak, khususnya para akademik dan Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN) yang bertanggungjawab sebagai pentadbir dalam menguruskan dana zakat di negeri masing-masing.

Dalam pembentangan tersebut, Dr. Razali Othman telah membahaskan pendekatan Hala Tuju WAZAN 2016-2025 (WARM’25) yang disokong oleh strategi komunikasi pemasaran bersepadu sebagai teras kepada pengurusan dana zakat UPM.

Menurut Dr. Razali lagi, pendekatan agihan dana zakat secara langsung dan tak langsung yang dipraktiskan di WAZAN telah memberi impak yang besar bukan sahaja kepada jumlah kutipan tetapi juga bilangan pembayar zakat dan penerima zakat

Sepanjang tahun 2016-2018 misalnya, kutipan dana zakat telah meningkat daripada RM5,734,783.05 (2015) kepada RM6,440,883.21 pada tahun 2017.

Jumlah kutipan ini terus meningkat kepada RM6,968,721.05 pada tahun 2018. Apa yang lebih menarik lagi ialah WAZAN berjaya mengutip dana zakat melebihi RM1 juta pada bulan Disember 2018. Sementara itu, sejumlah RM9,479,128.47 telah diagihkan kepada lebih 20,000 orang warga UPM sebagai penerima manfaat dana zakat sepanjang tahun 2015 – 2018.

Di akhir pembentangan tersebut, Dr. Razali menyarankan agar Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) di negara ini membenarkan semua Institusi Pendidikan Tinggi, baik Awam mahupun swasta dibenarkan mengurus kutipan dan agihan dana zakat di universiti masing-masing.

Date of Input: 19/08/2019 | Updated: 19/08/2019 | nuruliman

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEUSAG~