WAZAN UPM Perkenal Skim Agihan Terbaharu Manfaat Dana Wakaf Ilmu UPM | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» BERITA » WAZAN UPM Perkenal Skim Agihan Terbaharu Manfaat Dana Wakaf Ilmu UPM

WAZAN UPM Perkenal Skim Agihan Terbaharu Manfaat Dana Wakaf Ilmu UPM

Oleh Nuruliman Ibrahim

 

WAZAN UPM, 18 OKTOBER - Mesyuarat Jawatankuasa Agihan Manfaat (JKAM) Dana Wakaf Ilmu (DWI) Universiti Putra Malaysia yang dipengerusikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM, Dr. Hj. Razali Othman telah mencatatkan rekod sejarah yang tersendiri apabila sidang Mesyuarat sebulat suara meluluskan dua skim agihan bantuan terbaharu iaitu Dana Khas Rahmatan lil Alamin (RAHMATAN) dan Dana Skim Pembiayaan Khas (IHSAN).

 

 

Dana khas RAHMATAN merupakan bantuan agihan manfaat wakaf khusus untuk para pelajar bukan Islam yang berkeperluan khas, selaras dengan gagasan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dalam mengarus perdana agenda Rahmatan lil Alamin, Maqashid Shariah dan Fiqh Malizi.

Bertepatan dengan agenda "IHSAN dan Kesejahteraan Melangkaui 2025" dalam Perutusan Tahun Baharu 2018 oleh YBhg Prof Datin Paduka Dato' Dr. Aini Ideris, Naib Canselor UPM pula, dana khas Pembiayaan IHSAN diperkenalkan sebagai skim pembiayaan tanpa faedah (Qardhul Hasan) bagi para pelajar bukan asnaf yang sedang menghadapi kecemasan kewangan untuk tempoh tertentu.

Selain daripada itu, JKAM DWI UPM juga telah meluluskan Dana Khas Bantuan Peralatan OKU Penglihatan berjumlah RM40,000 merangkumi perisian Job Access With Sound (JAWS), NKVA dan mesin pencetak Braille Embosser, di samping melengkapkan Projek Wakaf Suara @ Projek Buku Audio untuk kemudahan golongan OKU penglihatan.

Mesyuarat yang sama juga telah meluluskan bantuan Projek Surau Pusat Sukan UPM, bantuan Projek Pusat Dapur Sehenti untuk pelajar asnaf UPM dan banyak lagi.

Mesyuarat JKAM DWI UPM yang bersidang di Bilik Mesyuarat WAZAN UPM pada 17 Oktober 2018 lalu turut bersetuju untuk meneruskan amalan agihan bantuan Dana Khas Dermasiswa Penyelidikan kepada para pelajar bacelor tahun akhir.

Untuk makluman, ini bukan kali pertama agihan manfaat DWI UPM disalurkan kepada pelajar bukan Islam di mana bantuan Dermasiswa Asasi kepada 20 orang pelajar Pusat Asasi Sains Pertanian UPM tahun 2014 pernah disampaikan oleh DYMM Tuanku Canselor kepada empat (4) orang pelajar bukan Islam dan enam belas (16) pelajar Islam.

Sebagai tambahan, dana Khas RAHMATAN juga boleh dikembangkan kepada keperluan alam sekitar termasuk bagi kepentingan kelestarian tumbuh-tumbuhan dan haiwan, sekiranya masih berbaki, dengan memberi keutamaan terlebih dahulu kepada para pelajar bukan Islam di UPM. - WAZAN Online

 

 

Tarikh Input: 22/10/2018 | Kemaskini: 05/11/2018 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXESJAV~