Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 3) | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 3)

Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 3)

 

                                                                                                                             Bahagian    III

 

 

Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan

 

Dasar sekularisme penjajah Barat dan kelemahan sistem pengurusan wakaf telah berjaya meminggirkan institusi yang hebat ini daripada sistem ekonomi masyarakat Islam. Telah tiba waktunya bagi umat Islam hari ini melihat, menilai dan mengembalikan semula warisan wakaf dan meletakkannya semula ke tempat asalnya bagi memastikan umat Islam tidak lagi ketandusan pelbagai sumber dalami mengejar dunia yang tanpa sempadan. Siri III ini akan menjelaskan mengapa wakaf yang telah sekian lama dipinggirkan, perlu disemai dan diterapkan semula dalam masyarakat Islam hari ini.

          Sedar atau tidak, amalan berwakaf merupakan perkara yang sangat digalakkan oleh Allah swt menerusi ayat-ayat yang menyuruh manusia melakukan amal kebajikan. Ayat yang mengalakkan kerja kebajikan (alaadhina amanu wa ‘amilu ‘l-sahlihat) disebut oleh Allah swt tidak kurang daripada 37 kali dalam al-quran seperti dalam surah al-maidah, al-haj, al-baqarah, al-imran dan al-thaqabun. Para faquha juga bersependapat bahawa tujuan asas manusia melaksanakan amalan wakaf adalah untuk melakukan kerja kebaikan (qurba) dan mendekatkan diri dengan Allah swt (taqarrub).  Ini jelas menunjukkan bahawa umat Islam yang sejati, digalakkan beramal soleh dan melakukan kebajikan dengan mengorbankan harta yang disayangi bagi mendapatkan ganjaran yang dijanjikan oleh Allah swt di kemudian hari.  Rasullullah saw dan para sahabatnya turut menyerahkan harta yang paling mereka sayangi untuk kepentingan agama dan masyarakat Islam melalui amalan berwakaf. Dalam satu hadis, Rasulullah saw telah bersabda yang antara lain bermaksud “… Jika anak Adam telah meninggal dunia, maka putuslah semua amalnya kecuali tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak sholeh yang mendoakan keduanya …” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Para ulamak bersependapat bahawa sedekah jariah dalam hadis di atas dimaksudkan sebagai wakaf. Dalam sebuah hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Bukhari, Rasulullah saw telah menjelaskan wakaf seperti sabdanya, “… itulah harta yang menguntungkan, itulah harta yang menguntungkan, aku telah mendengar apa yang engkau katakan mengenai Bairaha. Sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya sebagai sedekah bagi kaum kerabat, kemudian Abu Talha menjadikannya sebagai wakaf bagi kaum kerabatnya …”.

             Para ulama bersepakat bahawa wakaf merupakan amal jariah yang disyariatkan dalam Islam dan telah menjadi amalan di kalangan sahabat Rasulullah saw dan ahli-ahli ibadat yang suka membuat kebajikan, seperti kata Jabir ra, “… tiada seorangpun daripada sahabat Nabi saw yang berkemampuan melainkan memberi wakaf. Ini telah menjadi ijma’, maka sesungguhnya orang yang mampu mewakafkan harta itu dari kalangan mereka telahpun melakukannya, dan masyhurlah yang demikian itu, kerana itu tiada seorangpun yang membantahnya, maka jadilah yang demikian itu ijma’. Menurut Iman Shaffie, selepas peristiwa wakaf Saidina Umar di Khaibar, 80 orang sahabat di Madinah telah mengorbankan harta mereka sayangi untuk dijadikan wakaf. Antara mereka termasuklah Saidina Ali ra yang telah mewakafkan tanah dan rumahnya di Mesir, Abu Talha menyerahkan kebun yang disayangi, Umar, Saad, Arqun, Abu Bakar dan Zubair telah mewakafkan rumah-rumah mereka di Mekah dan di Madinah kepada Badan Amanah. Sebelum Rasulullah saw wafat, baginda sempat berpesan kepada para sahabat dan umat Islam keseluruhannya di dalam sebuah hadis yang bermaksud; “… Aku telah meninggalkan kamu dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang kepada keduanya iaitu Kitab Allah dan Sunnah Nabinya …”. Allah swt juga telah berfirman dalam Surah Al-Ahzab yang bermaksud bahawa “… demi sesungguhnya pada diri Rasul Allah itu contoh ikutan yang baik …”. Pensyariatan daripada Allah swt dan Rasulullah saw serta amalan para sahabat seperti yang dijelaslkan di atas, merupakan faktor yang seharusnya menjadi motivasi kepada seluruh umat Islam untuk mengembalikan dan mengaplikasikan semula amalan berwakaf setelah sekian lama dipinggirkan dalam setiap aspek kehidupan ummah.

                Keunikan dan kehebatan institusi wakaf juga dapat dilihat dengan jelas dalam sektor ekonomi. Sektor ekonomi konvensional yang menjadi amalan sekarang hanya merangkumi dua sektor sahaja iaitu sektor kerajaan dan sektor swasta. Sebaliknya, ekonomi Islam pula merangkumi tiga sektor iaitu sektor kerajaan, swasta dan sosial.  Institusi wakaf terletak di dalam sektor sosial atau juga dipanggil sektor ketiga. Sektor ketiga inilah yang berperanan dalam membantu perjalanan pentadbiran kerajaan dalam memenuhi keperluan kehidupan rakyat.  Semasa zaman keagungan Islam tidak wujud Jabatan Kerja Raya (Department of Works) kerana pembinaan prasarana seperti jalanraya, jambatan dan sebagainya dibuat melalui sumbangan masyarakat ke dalam sektor ketiga ini. Peranan sektor ketiga ini telah diperakui dan diamalkan oleh negara-negara Barat. Mereka kini telah mula melihat potensi dan keperluan sektor ketiga dalam menjana dan membangunkan masyarakat. Hasil karya Jeremy Refkin The End of Work telah mendapat sambutan yang hangat dan menjadi bahan bacaan paling popular di Amerika Syarikat. Buku ini telah menekankan kepentingan sektor ketiga yang disebut Philanthropic Sector untuk diamalkan sebagai alternatif mengurangkan bebanan kerajaan ke arah pembangunan masyarakat yang lebih menyeluruh. Pada tahun 2002 umpamanya, sektor ketiga ini telah menyumbang sejumlah $US240.92 bilion di Amerika Syarikat. Kajian yang dijalankan pada tahun 1993 oleh American Association of Fundraising Councel (AAFRC), Trust for Philanthropy mendapati keluarga di Amerika Syarikat secara puratanya menyumbang sebanyak $US646.00 iaitu 1.7% daripada jumlah pendapatan mereka ke dalam sektor ketiga ini. Konsep sektor ketiga seperti yang telah dijelaskan di atas telahpun menjadi amalan dalam masyarakat Islam menerusi institusi wakaf semenjak 1400 tahun yang lalu.

               Institusi wakaf juga merupakan alternatif yang boleh dimanfaatkan sebagai sumber pembiayaan dalam pelbagai sektor dan bidang.  Dengan mengembalikan dan meletakkan semula institusi wakaf ke tempat asalnya; pembangunan umat Islam akan dapat terus dilaksanakan dalam pelbagai bidang kehidupan seperti ekonomi, sosial, politik, pendidikan, perniagaan, pertahanan, pertanian, keagamaan, sains dan teknologi dan sebagainya. Wakaf akan dapat berfungsi sebagai satu lagi sumber pembiayaan negara dalam menagani dan menguruskan sektor-sektor di atas. Masyarakat akan dapat lebih berdikari tanpa telalu mengharapkan bantuan kerajaan. Di zaman kegungan Islam umpamanya, sektor-sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan, penyelidikan dan sebagainya disumbangkan melalui sumber wakaf.  Konsep wakaf dalam pelbagai istilah seperti Endowment, Foundation, Trust Fund dan Planning Estate telah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat di negara-negara Barat. Ia digunakan sebagai sumber pembiayaan dalam pelbagai bidang seperti penyelidikan, pendidikan, kesihatan, pertahanan, pembasmian kemiskinan dan seumpamanya yang keseluruhannya bermatlamat untuk meningkatkan mutu kehidupan. Kajian yang dijalan oleh AAFRC menunjukkan sebanyak 10 sektor telah menerima manafaat daripada sumbangan sebanyak $US240.92 bilion seperti yang disebut di atas. Sektor keagamaan menerima sejumlah $US84.28 bilion, pendidikan ($US31.64 bilion), perkhidmatan masyarakat ($US18.65 bilion), kesihatan ($US18.87 bilion), pemberian tak diagihkan ($US30.45 bilion), kemudahan awam ($US11.60 bilion),  seni, budaya dan kemanusiaan ($US12.22 bilion), haiwan dan alam sekitar ($US6.59 bilion), hal-ehwal antarabangsa ($US4.62 bilion) dan sumbangan kepada yayasan sebanyak $US22 bilion. Dalam sektor pendidikan tinggi pula, kajian yang dibuat oleh The Sutton Trust mendapati 10 buah univerisiti terkemuka di Amerika Syarikat dan United Kingdom masing-masing megumpul sejumlah $US46.4 bilion dan $US7.628 bilion dalam bentuk endowment. Kajian oleh National Assiociation of College and University Business Officers  mendapati sejumlah $US194 bilion endowment terkumpul di 120 buah universiti di Amerika Syarikat.

        Masalah kemiskinan melarat yang merupakan fenomena biasa di kalangan masyarakat di negara-negara Islam akan dapat dibenteras dengan mengaplikasikan semula istitusi wakaf. Dalam konteks ini, instusi wakaf berfungsi dan berperanan sebagai jaminan sosial dalam menyediakan kemudahan asas bagi memenuhi keperluan-keperluan sosio-ekonomi masyarakat. Sumber dan perolehan daripada harta wakaf boleh disalurkan untuk kegunaan golongan yang perlu dibiayai keperluan asasnya seperti keperluan makanan, pakaian, tempat tinggal dan rawatan. Jaminan sosial ini boleh dibuat dalam bentuk saraan hidup, pemberian modal, pembangunan atau pembinaan prasarana yang boleh mendorong mereka untuk berusaha ke arah peningkatan kehidupan yang lebih sempurna. Tanah-tanah dan bangunan yang diwakafkan umpamanya boleh disewa atau dipajak kepada golongan miskin pada kadar harga yang minimum. Hasil yang diperolehi melalui pembangunan hartanah wakaf pula boleh dijadikan dana untuk membina pusat-pusat latihan dan kemahiran, rumah dan tempat kediaman atau menyediakan modal untuk golongan ini menjalankan projek berasaskan kemahiran kemandirian atau survival skill yang mereka miliki. Projek pembinaan rumah yang lebih selesa untuk golongan miskin seperti penghuni di kawasan setinggan boleh juga dibangunkan di atas tanah-tanah wakaf ini. Program pajakan dan membina rumah wakaf di atas tanah wakaf ini telahpun dilaksanakan oleh Kariah Masjid Meru, Kelang, Selangor. Projek ini telah dapat membantu golongan yang tidak memiliki rumah untuk membina dan menghuni kediaman yang lebih selesa. Ini secara tidak langsung telah dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk mengurangkan kadar kemiskinan desa dan bandar dengan penyediaan prasarana (jaminan sosial) melalui pengurusan institusi wakaf yang berkesan.    Seterusnya, dasar dan polisi kerajaan untuk melahirkan masyarakat berhemah, penyayang dan bertanggungjawab akan dapat direalisasikan dengan mengaplikasikan semula institusi ini di kalangan umat Islam. Ini kerana, walaupun kebebasan pemilikan harta dibenarkan, namun, Islam telah menetapkan peraturan dan panduan khusus bagi mengelakkan penyelewengan, dan mencegah harta-harta itu daripada dikuasai oleh segolongan tertentu sahaja. Dalam hal ini, Allah swt telah memperingatkan manusia seperti dalam kisah Qarun (Al-Qashash:76-84) serta peristiwa kebakhilan Tsa’labah bin Hathib Al Anshari dan sifat buruknya terhadap kekayaan yang dimilikinya sehingga telah membawa kepada kemusnahan dalam hidupnya (At-Taubah:75). Islam menggalakkan umatnya membelanjakan kekayaan harta yang dimiliki dengan berlumba-lumba mengejar kebaikan bagi mendekatkan diri dengan Allah swt seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Imran, ayat 114-115, Al-Anbia, ayat 73 dan 90, Al- Mukminun, ayat 57-62, Al-Fathir, ayat 32, Al-Muzzammil, ayat 20, Al-Thaghobun, ayat 16-17, At-Taubah, ayat 104 dan Surah Al-Baqarah, ayat 270. Dalam konteks ini, amalan berwakaf akan dapat menjadi panduan kepada umat Islam dalam mencari dan membelanjakan harta mereka dengan cara yang terbaik terbaik tanpa melakukan pembaziran seperti firman Allah swt di dalam Surah Al-Mulk, ayat 15, Surah Al-Baqarah, ayat 168,  Surah Al-Isra, ayat 27 dan 29. Kajian yang dijalankan oleh Birol Baskan daripada Northwestern University, USA membuktikan bahawa sistem wakaf merupakan makanisma terbaik yang boleh digunakan dalam mengagihkan semula kekayaan di kalangan masyarakat kaya dan miskin.  Tegasnya, amalan berwakaf bukan sahaja dapat mengikis perasaan tamak, haloba, dengki, khianat dan irihati malah ia dapat melahirkan serta memupuk masyarakat yang saling menyayangi antara satu sama lain. Hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat madani yang menghormati hak orang lain dengan memegang kuat prinsip etika dan moral akan dapat dicapai.

         Dilihat dari aspek pentadbiran dan perundangan, institusi wakaf juga tidak dapat dinafikan berperanan untuk mewujudkan tadbir urus yang baik. Undang-undang Islam merupakan undang-undang yang terbaik berbanding Undang-undang Inggeris (Common Law), Undang-undang Eropah (Continantal Law) dan Undang-undang Sosialis (Comunist Law) yang mengiktiraf hak harta persendirian dan awam. Dalam sistem perundangan Inggeris umpamanya, tanah milik individu yang hendak dibangunkan untuk kemudahan masyarakat akan dirampas dengan pembayaran pampasan yang lebih rendah daripada nilai semasa. Sementara dalam sistem perundangan sosialis pula, tanah tersebut dirampas dan diserahkan hak miliknya kepada masyarakat. Dalam perundangan Islam, masyarakat digalakkan menyumbangkan harta mereka (milik individu) untuk diserahkan pemilikan serta manfaat kegunaannya kepada masyarakat yang lebih besar (awam) tanpa adanya unsur-unsur desakan, paksaan atau tekanan daripada pihak pemerintah.  Kecenderungan individu menyumbangkan harta tanpa paksaan kepada masyarakat dapat memastikan tadbir urus yang baik diwujudkan oleh pemerintah. Tadbir urus yang baik datang daripada rakyat tanpa adanya unsur-unsur paksaan atau tekanan. Jelasnya, tadbir urus yang baik dalam sesebuah negara dibentuk dengan matlamat untuk menyelenggarakan kehidupan yang sempurna bagi semua warganya.

            Kesinambungan pembangunan sosio ekonomi umat Islam akan terus terlaksana menerusi modal dan pembiayaan yang diperolehi melalui manfaat harta-harta wakaf.  Pemilikan harta wakaf akan memberi manfaat dan menjadi sumber kekuatan ekonomi masyarakat Islam. Pembangunan penyelidikan sosial, sains dan teknologi bukan sahaja akan dapat memastikan umat Islam menandingi pencapaian kehebatan masyarakat bukan Islam, tetapi dalam masa yang sama juga akan dapat megembalikan semula kehebatan temadun Islam yang telah sekian lama dilupakan. Ketandusan modal, sumber pembiayaan dan kewangan telah menjadi salah satu sebab utama yang membawa kepada kemunduran masyarakat Islam dalam pelbagai bidang kehidupan. YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi dan bekas YAB Perdana Menteri Tun Mahaddir Muhammad sering kali menyarankan umat Islam untuk kembali melihat, menilai dan mengaplikasikan semula sistem Islam dalam memastikan umat Islam terus maju dalam pelbagai bidang kehidupan.

 

 

Dr. Razali Othman

Pengarah

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 01/10/2018 | Kemaskini: 06/10/2018 | nuruliman

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
C1573982837