Mengasihi Haiwan Dengan Wakaf | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Mengasihi Haiwan Dengan Wakaf

Mengasihi Haiwan Dengan Wakaf

Sebagai makhluk ciptaan Allah SWT, manusia bukan sahaja memiliki akal dan bertangungjawab untuk beribadah kepada yang Esa. Namun, manusia diciptakan sebagai khalifah yang memakmurkan muka bumi ini dan termasuklah memberikan kebaikan kepada makhluk Allah yang lain seperti binatang dan tumbuhan. Pada hari ini kita melihat pelbagai kekejaman yang dilakukan oleh manusia kepada haiwan yang tidak berdosa. Bukan setakat itu, manusia khususnya orang muslim sendiri sering leka dan alpa dengan kepentingan duniawi. Akhirnya mereka lupa akan amanah yang Allah berikan untuk membantu dan mengasihi mahkluk ciptaan-Nya

Kita dapat melihat kucing, anjing dan pelbagai haiwan lain terbiar dan langsung tidak dipedulikan oleh manusia. Sedangkan adakah kita lupa akan kisah seorang wanita muslim yang rajin beribadah kepada Allah tetapi menjadi ahli neraka kerana kekejaman terhadap haiwan. Rasulullah SAW diriwayatkan daripada Ibnu ‘Amr bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Ada seorang wanita yang diseksa kerana seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati. Wanita itu lalu masuk ke dalam neraka kerana kucing tersebut dikurungnya tanpa diberikannya makan dan minum dan tidak pula dibiarkannya bebas sehingga dia dapat memakan serangga tanah. (riwayat al-Bukhari).

Maka, jelaslah bahawa kehidupan di dunia ini perlu dikongsi dengan pelbagai makhluk ciptaan Allah SWT.Mereka semua saling memerlukan di antara satu dengan yang lain untuk meneruskan kehidupan. Di antara hidupan yang hidup bersama-sama kita semua ialah haiwan. Mereka merupakan makhluk yang diciptakan untuk memberikan faedah yang banyak kepada manusia, khususnya.Selain berfungsi sebagai bahan makanan, haiwan juga diperlukan sebagai pelengkap hidup seseorang. Ramai dalam kalangan manusia gemar memiliki haiwan peliharaan sendiri dan ia sudah menjadi kebiasaan kita semua.

Haiwan-haiwan seperti kucing, arnab, ikan, tupai dan sebagainya sering dijadikan binatang peliharaan di rumah.Memelihara haiwan dianjurkan dalam Islam namun pemiliknya hendaklah menjaga hak-hak yang sepatutnya diberikan kepada haiwan peliharaannya. Hak-hak asasi hendaklah diberikan secukupnya agar haiwan tersebut dapat meneruskan kehidupannya dengan baik. Lihatlah betapa seriusnya akibat yang ditanggung jika mengabaikan hak-hak asasi haiwan peliharaan. Pelakunya berpotensi menjadi ahli neraka hanya kerana kezalimannya terhadap haiwan yang dipeliharanya.

Sebagaimana manusia, haiwan juga ada perasaan dan kehendak hidupnya. Jika ia dikurung dan tidak mampu menjaga hak asasi seperti makan dan minumnya, maka hendaklah ia dilepaskan pada waktu-waktu tertentu agar ia dapat mencari makanannya sendiri.

Para sahabat pernah bertanya: Wahai Rasulullah, adakah kita akan mendapat pahala jika berbuat baik kepada haiwan? Baginda menjawab: Berbuat baik terhadap setiap makhluk bernyawa diberi pahala. (riwayat al-Bukhari)

Begitulah besarnya ganjaran yang diberikan Allah SWT terhadap orang yang melakukan kebaikan kepada haiwan meskipun ia bukan haiwan peliharaan atau haiwan yang dianggap najis di sisi masyarakat kita seperti anjing.

 

Oleh yang demikian, menyedari akan kepentingan hak-hak haiwan ini sebuah dana wakaf perlu untuk kita laksanakan. Salah satu usaha ini telah dikembangkan oleh WAZAN UPM menerusi perbincangan bersama Fakulti Perubatan Veterinar UPM. Dana wakaf haiwan ini dapat dilaksanakan menerusi sokongan para penyumbang untuk menyalurkan sumbangan untuk WAZAN dan FVP mendapatkan dana membeli ubat dan peralatan untuk merawat haiwan.

Selain itu, dana wakaf haiwan ini juga boleh digunakan untuk membeli dan menyediakan makanan dan keperluan asas lain seperti tempat tinggal haiwan yang selesa dan sepatutnya. Sehubungan itu, cetusan idea ini merupakan satu contoh yang boleh dikembangluaskan kepada orang ramai agar kita sentiasa prihatin akan hak-hak haiwan tidak mengira haiwan peliharaan atau haiwan yang haram untuk dipelihara.

Seterusnya, pemupukan kesedaran orang ramai khususnya orang Islam dalam membantu dana wakaf haiwan ini pasti akan mengatasi masalah haiwan di tepi jalan yang terbiar. Sekali gus, memupuk kesedaran dalam diri agar tidak melakukan sebarang tindakan kekejaman kepada haiwan mahupun tumbuhan. Semoga dengan menjaga kebajikan haiwan menerusi sumber wakaf akan mendapat ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT.

 

Tarikh Input: 19/03/2019 | Kemaskini: 19/03/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 8993/6156
+603 9769 2048
C1568667121