ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF: SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN SARJANA BAHAGIAN III | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF: SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN SARJANA BAHAGIAN III

ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF: SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN SARJANA BAHAGIAN III

ASAL USUL KEWUJUDAN WAKAF:

SATU PERDEBATAN DALAM KALANGAN SARJANA

 

PENDAHULUAN

 

Kegagalan untuk menjelaskan teori pengaruh tamadun silam terhadap pewujudan sistem perundangan wakaf seperti yang telah dibahaskan dalam artikel yang sama di Bahagian II telah menyebabkan para sarjana Barat berpaling kepada teori perundangan trust di bawah sistem perundangan Inggeris. Dakwaan sistem perundangan wakaf wujud hasil daripada inspirasi dan pengaruh sistem perundangan trust ini dibuat bersandarkan kepada persamaan yang menonjol dalam penggunaan alat perundangan iaitu pelupusan hak milik harta dan manafaat. Dalam kedua-dua sistem perundangan tersebut misalnya, harta yang disumbangkan bersifat kekal dan hanya manfaatnya sahaja yang digunakan untuk tujuan yang telah ditetapkan.

Berdasarkan senario di atas, artikel di Bahagian III ini akan cuba menjawab persoalan tersebut dengan menumpukan perbincangan kepada asal usul dan prinsip trust di bawah sistem perundangan Inggeris dan hubungannya dengan sistem perundangan wakaf. Penggunaan alat perundangan pelupusan hak milik harta dan manfaat dalam perundangan trust yang mirip kepada perundangan wakaf telah membawa kepada andaian dalam kalangan orientalis Barat bahawa amalan berwakaf wujud hasil daripada inspirasi dan pengaruh sistem perundangan trust. Jadi, diakhir artikei ini nanti akan membukti secara ilmiah dan empirikel bahawa bahawa asal usul amalan dan pewujudan sistem perundangan trust sebenarnya bersumberkan sistem perundangan wakaf. Sebaliknya, institusi wakaf pula merupakan institusi yang wujud secara perlahan-lahan melalui tradisi kenabian yang kemudiannya diperkukuhkan melalui ijmak ulama bertunjangkan tasawur Islam seperti yang telah dibahaskan dalam artikel yang sama, Bahagian I.

 

SISTEM PERUNDANGAN TRUST: ASAL USUL DAN PRINSIP ASAS

 

Walaupun terdapat bukti yang jelas bahawa institusi wakaf wujud dengan bertunjangkan tasawur Islam, namun, sarjana Barat tidak pula menerima atau menolaknya. Malah, kegagalan sarjana Barat untuk menjelaskan pewujudan institusi wakaf berdasarkan teori pengaruh luar telah menyebabkan mereka berpaling pula kepada teori trust dalam perundangan Inggeris. Menurut Maitland, idea pewujudan sistem perundangan trust merupakan pencapaian terbesar dan terpenting yang dibuat oleh orang-orang Inggeris. Malah, idea ini telah berkembang dan memainkan peranan penting dalam evolusi dan pembangunan masyarakat Barat seperti mana dibahaskan dalam dua buah karya iaitu “A History of English Law” dan  “Early English Equity” yang masing-masing ditulis oleh Holdworth (1903) dan Holmes (1936).

Persoalannya, apakah yang dimaksudkan dengan sistem trust? Bagaimana pula sistem trust menjadi satu sistem yang sangat penting dalam sistem perundangan Inggeris? Dalam hal ini, menurut Fratcher (1969) dan Guerin-McManus (2011), trust berasal daripada sistem perundangan Inggeris yang dibangunkan daripada perundangan pemilikan tanah yang dipanggil uses di zaman pertengahan di England. Orang yang bertanggungjawab memperkenalkan uses ialah Franciscan Friars seperti yang dijelaskan oleh Pollock & Maitland (1952);

 

“Lastly, in the early years of the thirteenth century the Francisan Friars came hither ... We should be nearer the truth if we we said that to all seemingly the first person who in England employed the “use” on a large scale were, not the clergy, not the monk, but the Friars of Saints Francis”.

 

Menurut Profesor Cattan, antara rekod sejarah terawal mengenainya ialah kes yang dirujuk oleh Bracton pada tahun 1224. Berdasarkan kes ini dikatakan seorang lelaki sebelum memulakan perjalanannya ke tanah suci (holy land) telah menyerahkan tanah kepada abangnya untuk disimpan sebagai use untuk anak-anaknya. Pada suku tahun kedua dalam abad ketigabelas, beberapa kes telah ditemui di mana tanah telah digunakan sebagai use untuk kaum keluarga mereka. Dalam bukunya iaitu Conservation Trust Fund”, Guerin-McManus telah menjelaskan secara terperinci konsep uses ini. Menurut beliau, uses turut digunakan sebagai alat perundangan untuk mengelakkan Akta Mormain iaitu satu siri akta yang melarang golongan agama daripada menerima sumbangan dalam bentuk tanah dengan tujuan untuk mencegah pemilikan harta tersebut dimiliki oleh kumpulan agama ini. Tambah beliu lagi, di bawah peruntukan akta ini, golongan agama tidak dibenarkan memiliki harta. Sebaliknya mereka boleh dinamakan sebagai penerima manfaat daripada harta tersebut. Malah, terma trust masih merujuk kepada uses sehinggalah Statute of Uses diperkenalkan pada tahun 1535.

Gambar I : Perjalanan masyarakat Inggeris ke Holy Land

 

Dalam sistem perundangan trust, pemilik harta atau feoffor menyerahkan hak pemilikan harta kepada pihak ketiga yang dipanggil feoffee to uses. Feoffee to uses yang berfungsi sebagai pemegang amanah bertanggung jawab kepada cestui que use (penerima manfaat) seperti yang dihasratkan oleh feoffor. Seperti juga dalam perundangan wakaf, feoffee to uses menjalankan tiga fungsi utama iaitu membenarkan cestui que use menggunakan harta tersebut dan menikmati faedah daripada hasilnya (sewa dan keuntungan), mempertahankan hak pemilikan harta daripada tindakan pihak ketiga dan menggunakan harta berkenaan seperti mana yang dihasratkan oleh feoffee to uses. Kedua-dua institusi uses dan wakaf juga menggunakan alat perundangan yang sama iaitu pelucutan atau pelupusan hak milik harta (renunciation of ownership of property). Sementara hasil daripada asal harta berkenaan pula (usufruct) akan diberikan sebagai sumbangan kepada penerima manfaat (feoffee to uses), sama ada pada kadar waktu yang ditetapkan atau berterusan. Persamaan yang ketara dalam kedua-dua struktur perundangan bagi wakaf dan trust ini dijelaskan lagi oleh Cattan;

 

“Under both concept, property is reserved, and its usufruct appropriated, for the benefit of specific individuals, or for a general charitable purpose; the corpus become inalienable; estate for life and favour of successive benefeciries can be created ... without regard to the law of inheritance or the right of the heirs; and continuity is secured by the successive appointment of trustees or mutawallis.”  Cattan (1955: 212)

 

Pandangan yang sama ini juga disuarakan oleh sarjana lain seperti Thomas (1949), Syed Athar Hosain & Syed Khalid Rashid (1973), Badr (1978) dan Weeamantry (2001). Menurut sarjana-sarjana ini, persamaan yang ketara antara sistem perundangan trust dan sistem perundangan wakaf inilah yang telah membawa kepada spekulasi bahawa sistem perundangan wakaf wujud daripada pengaruh serta aspirasi sistem perundangan English Trust. Adakah amalan dan pewujudan wakaf diambil atau dipinjam daripada trust dalam sistem perundangan Inggeris seperti yang ditimbulkan dalam perbincangan sebelum ini? Persoalan yang menarik minat para sarjana ini akan dihuraikan dalam bahagian seterusnya.

 

PEWUJUDAN SISTEM PERUNDANGAN WAKAF VS. SISTEM PERUNDANGAN TRUSTS: ANTARA ILUSI DAN REALITI?

 

Sejauh manakah sistem perundangan wakaf dipengaruhi oleh sistem perundangan trust? Adakah persamaan yang wujud khususnya dari aspek pemakaian alat sistem perundangan dalam kedua-dua institusi tersebut dapat mengesahkan andaian di atas? Bagi membongkar isu berkenaan, Profesor Cattan (1955) dalam karyanya yang hebat iaitu “The Law of Waqf, in Law in the Middle East: Origin and Development of Islamic Law”, telah mengemukakan hujahnya yang sangat menarik dengan menegaskan bahawa analogi dan kronologi kedua-dua institusi ini memungkinkan perundangan trust dipengaruhi oleh perundangan wakaf. Dakwaan ini dibuat bersandarkan hujahnya bahawa secara teori dan praktisnya wakaf dibangunkan di negara Islam sebelum perundangan trust diperkenalkan di England lagi. Sementara itu, tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan bahawa sistem agihan usufruct untuk kepentingan pelbagai golongan masyarakat wujud sebelum Islam. Malah, keistimewaan dan keunikan wakaf terletak pada konsep pengasingan hak milik harta daripada usufruct. Crecelius (1995) turut menyokong pendapat ini dengan menyatakan bahawa umat Islam digalakkan untuk menyerahkan harta mereka secara sukarela untuk kepentingan ummah. Mereka tahu mengenai tanggungjawab tersebut dan wakaf sendiri merupakan satu keistimewaan bagi orang-orang Islam.

Dalam bukunya “Whether Common Law Concepts of ‘Uses and Trust’ Originated From Waqf, Syed Khalid Rashid (2007) menjelaskan bahawa dakwaan Professor Cattan yang diusulkannya sejak tahun 1955 ini tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana ahli-ahli perundangan dan sarjana Barat untuk mengesahkan atau menolak kemungkinan wakaf mempengaruhi pewujudan sistem perundangan trust. Sebaliknya, mereka lebih menumpukan penelitian asal usul sistem perundangan trust daripada perspektif perundangan Roman Fideicommissum dan German Salic Salmannus. Sedangkan penelitian ke atas kedua-dua sistem perundangan Roman Fideicommissum dan German Salic Salmannus didapati hanya bersifat luaran, longgar dan tidak dapat diterima secara sejagat seperti mana yang telah dibahaskan oleh Crone (1987:5-6), Gaudiosi (1988:1241-1242), Syed Khalid Rashid (2007:247-248) dan Razali Othman (2011: 26).

 

Jika dilihat dari aspek perbezaan pula, kedua-dua institusi ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara dari sudut pemegang amanah, jangkamasa dan objek harta yang disumbangkan. Salah satu aspek yang sangat penting dalam sistem perundangan trust ialah hak harta diserahkan kepada pemegang amanah. Pemegang amanah kemudiannya akan menjadi pemilik kepada trust. Sebaliknya, mutawalli dalam sistem perundangan wakaf tidak dianggap sebagai pemilik harta tersebut. Kedua, sistem perundangan trust tidak terikat dengan konsep kekal. Namun begitu, perlu diingat bahawa konsep kekal sebenarnya wujud dalam sistem perundangan trust sehinggalah peraturan bertentangan kekalan (rule against perpetuities) diperkenalkan dalam perundangan Inggeris. Ketiga, perbezaan yang paling menyerlah ialah dari aspek objek. Trust boleh dibuat untuk semua objek yang sah, sedangkan wakaf pula dibuat dengan tujuan kebajikan (charity) walaupun terdapat ketetapan keluarga sebagai objek. Bagi menjadikan wakaf itu sah, objek tersebut memerlukan syarat kebajikan (condition sine qua non) sebagai objek yang muktamat. Schoeenlum (1999) dalam kajian perbandingan perundangan wakaf dan sistem perundangan trust pula telah menggariskan tiga perbezaan asas dalam kedua-dua institusi tersebut. Pertama, perbezaan dari aspek sumber dan evolusi perundangan. Kedua, norma pengggunaan dan ketiga ialah perundangan yang diguna pakai dalam negara. Syed Khalid Rashid (2007) dalam kajiannya terhadap sistem perundangan sistem perundangan trust dan sistem perundangan wakaf pula merumuskan perbezaan yang paling ketara ialah falsafah pemilikan dari sudut perundangan dalam kedua-dua institusi ini. Menurutnya, institusi wakaf secara perundangannya dimiliki oleh pemilik asal iaitu Allah SWT, sebaliknya pemegang amanah adalah pemilik kepada trust. Beliau seterusnya menyenaraikan lapan lagi perbezaan antara kedua-dua institusi berkenaan seperti hak pemilikan wakaf dan trust, kekalan, kempunyaan tiga elemen wakaf, objek, pewujudan wakaf dan trust, pemilik harta, objek untuk penyerahan kepada penerima manfaat dan keperluan manfaat awam.

Penelitian Gaudiosi (1988) dalam artikelnya iaitu “The Influance of the Islamic Law of Waqf on the development of the Trust in England: The Case of Merton College” yang membuat penelitian  terhadap asal usul sistem perundangan trust dan sistem perundangan wakaf dengan memberikan fokus kepada kronologi sejarah pula telah membuktikan bahawa pengaruh Islam memainkan peranan yang besar dalam pewujudan sistem perundangan trust. Sistem perundangan wakaf telah wujud lebih 500 tahun sebelum lahirnya uses dalam perundangan Inggeris di England. Tegasnya lagi, kewujudan sistem perundangan trust adalah selari dengan masa peningkatan hubungan antara dunia Eropah dan Islam. Franciscan Friars yang memperkenalkan sistem uses dikatakan telah menghabiskan masa di wilayah Islam pada tahun 1219 dan 1220. Perjalanan ke tanah suci khususnya ke Jerusalem merupakan perkara yang biasa bagi orang-orang Eropah pada kurun kesebelas dan keduabelas di mana perang salib berlangsung antara 1095 ke 1291. Jerusalem telah menjadi titik pertemuan antara dunia Islam dan England kerana terdapatnya pertubuhan agama di sana yang dipanggil Orders of the Templars and Hospitallers. Pertubuhan ini kemudiannya telah menubuhkan Principal House of Order di London sekitar tahun 1120. Pertubuhan agama ini mempunyai pengaruh yang kuat kepada pembinaan Inns of Court antara tahun 1135 dan 1189 iaitu sekolah perundangan terawal di England yang disambungkan dengan gereja. Menariknya, penubuhan institusi pendidikan perundangan ini diambil daripada model sekolah perundangan Islam yang pada awal penubuhannya merupakan sebahagian daripada madrasah seperti dibahaskan oleh Makdisi (1981) dalam bukunya berjudul “The Rise of Colleges: Institution of Learning in Islam and The West”. Tambahnyha lagi, Orang-orang Salib telah mengambil idea ini semasa mereka tinggal di Jerusalem. Contoh Inn of Court ini telah menjadi bukti yang jelas tentang pemindahan institusi perundangan daripada dunia Arab ke England. Pandangan serta kritikan sarjana seperti Cattan (1955), Makdisi (1981) dan Gaudiosi (1988) seperti yang dibahasakan sebelum ini telah menjadi asas yang kukuh untuk menolak andaian institusi wakaf wujud daripada inspirasi dan pengaruh sistem perundangan trust.

 Gambar II : Orders of the Templars and Hospitallers

 

 

    Gambar III: Penubuhan Principal House of Order di London sekitar tahun 1120

 

 

Gambar IV. Sekolah Perundangan Lincoln Inn di London

 

Hal ini dibuktikan lagi dengan penelitian secara terperinci oleh Gaudiosi (1988) terhadap persamaan tujuan dan struktur statut Merton College, Oxford oleh Walter de Merton.  Statut yang bertarikh 1264 Masihi ini bukan sahaja mempunyai persamaan yang sangat ketara dengan dokumen perjanjian wakaf (waqf deed) dari aspek kandungan, format dan gaya penulisannya, tetapi juga tujuan harta tersebut disumbangkan kepada penerima yang ditentukan secara kekal dan berpanjangan (Goudiosi, 1988). Malah, hasrat Walter de Merton menubuhkan Merton College di Universiti Oxford bertujuan untuk menggalakkan perkembangan ilmu dan membantu kaum keluarganya, jelas diilhamkan daripada motif penubuhan madrasah menerusi institusi wakaf yang diperolehi semasa beliau bertugas di Jerusalem.  Peniruan institusi wakaf oleh Walter de Merton ini ke atas penubuhan Merton College di Oxford dijelaskan oleh Gaudiosi bahawa;

 

“Walter de Merton nowhere openly expressed intent to imitate the waqf. However such silence is to be expected. Merton College was established during the Crusades, and it would not have been wise for a prominent clergyman and government servant to announce his adoption of an Islamic institution. Moreover, de Merton need not have been conscious of Islamic influence upon the trust. Rather, he could have adopted the Islamic system indirectly, via the Inns Court or the Franciscans, for example” (Gaudiosi, 1988:1255).

 

Gambar V: Pelbagai pembangunan tumbuh subur menerusi wakaf sekitar tahun 1200

 

 

Gambar VI: Kolej Merton di Oxford Universiti yang dibina menggunakan konsep wakaf sekitar tahun 1264

Dalam hal ini, Peter (2002) dan Wael Hallaq (1990) seperti yang telah dibincangkan ssbelum ini menegaskan bantahan mereka tentang pengaruh asing terhadap sistem perundangan Islam. Peter (2002) telah mengatakan bahawa bukanlah sesuatu yang pelik bagi masyarakat yang berlainan untuk mencapai penyelesaian perundangan yang serupa bagi masalah-masalah yang sama. Beliau manambah bahawa sebelum persoalan pengaruh ditimbulkan, seseorang itu seharusnya menyiasat sama ada kemunculan sesuatu doktrin atau institusi itu boleh dihuraikan berdasarkan sistem perundangan. Sementara itu, Calder (2004) pula menyatakan bahawa keaslian undang-undang menunjukkan persamaan antara budaya, sekalipun tidak wujud hubungan meluas antara keduanya. Sementara Wael Hallaq (1990) menyangkal premis amalan perundangan dan doktrin asing yang menjadi teras kepada perundangan Islam. Beliau menyuarakan rasa tidak percayanya terhadap pandangan umum yang menyatakan bahawa pengaruh asing memberikan sumbangan besar kepada perundangan Islam secara meluas. Menurutnya lagi, keunikan al-Qur’an yang merupakan asas kepada pembentukan perundangan Islam menjadi penghalang kepada resapan daripada pengaruh luar. Maka atas dasar inilah, kata Wael Hallaq, kegagalan sarjana-sarjana Barat untuk membuktikan secara konklusif bahawa perundangan Islam dipengaruhi oleh tamadun asing. Imam Shafii sendiri pula menyatakan bahawa wakaf, baik dalam bentuk rumah atau tanah tidak pernah wujud di bumi Arab sebelum Islam. Hujah Imam Shafii ini dibuat bersandarkan kepada nas al-Qur’an, surah al-Najm dan al-Hasr.

 

“Dan ia tidak memperkatakan sesuatu menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya” (al-Najm, 53:3)

 

Apa yang Allah kurniakan kepada Rasul-Nya dari harta penduduk negeri dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan Rasulullah, dan bagi kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin serta orang musafir. Supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang kaya dari kalangan kamu. Apa jua yang dibawa oleh Rasulullah kepada kamu maka terimalah ia, dan apa jua yang dilarang kamu melakukannya maka patuhilah larangannya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya” (al-Hasr, 59:7).

 

Bersandarkan kepada kedua-dua ayat al-Qur’an tersebut, beliau menegaskan bahawa amalan dan sistem perundangan wakaf sebenarnya wujud secara perlahan-lahan melalui tradisi kenabian yang kemudiannya diperkukuhkan melalui ijmak ulama.

 

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, memang tidak dapat dinafikan terdapat persamaan yang ketara khususnya dalam penggunaan alat perundangan iaitu pelupusan hak milik harta dan manfaat dalam kedua-dua sistem perundangan trust dan sistem perundangan wakaf seperti yang dibincangkan. Namun begitu, penelitian secara terperinci menerusi kajian ini mendapati terdapat tidak kurang daripada sembilan perbezaan termasuk dari aspek falsafah pemilikan harta dalam kedua-dua institusi di atas. Sementara itu, dakwaan dan hujah yang diberikan khususnya daripada aspek struktur perundangan adalah bersifat longgar, superficial dan sukar diterima secara sejagat. Hujah dari perspektif kronologi sejarah pula membuktikan bahawa sistem perundangan wakaf telah wujud lebih daripada 500 tahun sebelum perundangan trust diperkenalkan oleh Fransiscan Friar di England. Hakikatnya, Fransiscan Friar sendiri yang pernah tinggal di wilayah Islam pada tahun 1219 dan 1220, membuktikan beliau mendapat inspirasi mengenai idea perundangan trust ini melalui institusi wakaf yang pada ketika itu telah berkembang subur di dunia Islam dan bukan sebaliknya. Tambahan pula, penubuhan Inns of Court yang menjadi tanda pemindahan institusi perundangan Madrasah Islam dari dunia Arab ke England dan seterusnya hasil penelitian ke atas struktur statut Merton College bertarikh 1264 telah memperkukuhkan lagi dakwaan bahawa amalan dan perundangan wakaf  tidak dipengaruhi oleh perundangan trust. Ini sekaligus menunjukkan kegagalan sarjana-sarjana Barat untuk membuktikan bahawa amalan dan pewujudan perundangan wakaf adalah hasil daripada pengaruh serta inspirasi perundangan trust. Amalan dan pewujudan wakaf sebenarnya disyariatkan oleh Rasulullah SAW dengan dipandu oleh ayat-ayat al-Qur’an. Para ulamak, kemudiannya telah memperkukuhkan lagi perundangan wakaf ini menerusi kaedah ijmak, dan bukannya melalui perundangan trust seperti mana yang didakwa oleh sarjana -sarjana Barat.

 

 

Disediakan oleh:

RAZALI BIN OTHMAN

Pengarah,

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)

Universiti Putra Malaysia (UPM)

Emai: razaliupm@upm.edu.my

Tarikh Input: 29/03/2019 | Kemaskini: 29/03/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdDAp~