Majlis Perasmian Kelas Al-Quran 2019 | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» NEWS » Majlis Perasmian Kelas Al-Quran 2019

Majlis Perasmian Kelas Al-Quran 2019

UPM, 3 April 2019 – Kitab suci Al- Quran merupakan petunjuk ke jalan kebenaran dan sebagai pedoman kepada semua manusia. Oleh itu, menyedari kepentingan Al-Quran maka, WAZAN terus berusaha untuk membudayakan amalan mempelajari Al-Quran secara lebih menyeluruh dalam kalangan staf UPM. Sehubungan itu, WAZAN telah menjalankan kerjasama baik bersama Al-Baghdadi yang merupakan satu badan berteraskan pembelajaran fardhu ain, fardhu Kifayah dan pengajaran Al-Quran.

Majlis perasmian kelas pengajian Al-Quran peringkat UPM bagi tahun 2019 telah berjaya dilancarkan. Perasmian ini telah berlangsung di dewan banquet Hospital Pengajar UPM. Kelas pengajian al-quran ini telah melibatkan para staf baru UPM yang bakal menjalankan amanah dan tugas di hospital pengajar UPM yang akan beroperasi dalam masa terdekat. Penglibatan para staf hospital pengajar UPM amat memberangsangkan dan program ini telah berjaya ditaja sepenuhnya oleh WAZAN melalui dana wakaf.

Usaha murni ini dilihat sebagai langkah baik dalam memartabatkan Al-Quran di kampus hijau ini. Kelas pengajian al-quran ini dikelolakan oleh para pengajar Profesional dari Al-Baghdadi dengan kerjasama pihak hospital pengajar UPM yang menyediakan beberapa kelas yang selesa dan kondusif. Kelas pengajian Al-Quran ini terbahagi kepada dua kelas iaitu kelas Tajwid dan kelas Asas Al-Quran. Tempoh masa kelas pengajian ini dijangkakan dalam masa 4 bulan.

Oleh itu, WAZAN amat berharap para peserta kelas ini dapat berjaya menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup yang dekat dalam hidup mereka. Dalam masa yang sama, WAZAN turut mengambil langkah proaktif dengan membuka kaunter khidmat pelanggan bagi memberikan pendedahan awal kepada para staf baru UPM. Hal ini kerana, mereka wajib menunaikan tangungjawab mereka iaitu membayar zakat pendapatan.

Di samping itu, mengalakkan staf baru UPM untuk berwakaf di UPM menerusi skim potongan gaji iaitu sistem e-Baraqah. Secara langsung, para staf baru bukan sahaja melaksanakan kewajipan rukun Islam ketiga tetapi mereka dapat membantu WAZAN meluaskan lagi manfaat dana wakaf dan zakat kepada pelajar asnaf UPM.

Oleh yang demikian, WAZAN mendoakan semua peserta kelas pengajian Al-Quran ini akan berjaya menamatkan pengajian mereka dengan jayanya. Seterusnya, mampu berkongsi ilmu berkaitan asas Al-Quran dan ilmu tajwid kepada orang lain agar bacaan Al-Quran yang baik dan betul akan dapat dilestarikan.

Date of Input: 08/04/2019 | Updated: 08/04/2019 | m.jazmi

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDdSAk~