SOALAN LAZIM TENTANG WAKAF | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» KHIDMAT UTAMA » SOALAN LAZIM TENTANG ZAKAT DAN WAKAF » SOALAN LAZIM TENTANG WAKAF

SOALAN LAZIM TENTANG WAKAF

Soalan Lazim Tentang Wakaf

1) Apakah faedah wakaf?

Wakaf adalah satu bentuk transaksi harta yang dapat memberi faedah dan manfaat bukan saja kepada diri pewakaf, malah penerimanya, masyarakat Islam keseluruhan dan pihak pemerintah sendiri turut mendapat kebaikannya. Dalam hubungan ini, pewakaf memperoleh pahala ‘sedekah jariah’, penerimanya dan masyarakat dapat menikmati manfaat harta yang diwakafkan selain ia meringankan bebanan kewangan kerajaan dalam menyediakan bantuan serta kemudahan untuk masyarakat.

2) Apakah pandangan syariah tentang wakaf ?

Hukum wakaf adalah sunat menurut Jumhur Fuqaha’. Wakaf adalah satu amalan yang sangat dituntut dan ia merupakan salah satu sedekah jariah, yang pahalanya besar daripada Allah SWT. Wakaf merupakan tuntutan al-Quran, Sunnah dan amalan para sahabat. Falsafah wakaf:

a) Untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

b) Untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

c) Menghapuskan sifat bakhil.

d) Mendapatkan harta berterusan.

e) Memberi kebaikan kepada ummah.

f) Pembangunan/kegunaan anak yatim, orang miskin dan sebagainya.

g) Menjamin harta itu berkekalan dalam kebajikan.

3) Apa pandangan ulama tentang Wakaf Tunai?

Hukum Wakaf Tunai adalah DIBOLEHKAN (harus). (Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali Ke-77 yang bersidang pada 10-12 April 2007 di Primula Beach Resort, Kuala Terengganu - Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam).

4) Wakaf tunai untuk siapa?

Untuk memajukan sosio-ekonomi ummah amnya dan juga dapat mengeratkan ukwah wujudnya sifat berwakaf dan saling membantu sesama Islam.

5) Bagaiman wakaf boleh menyumbang kepada sosio-ekonomi ?

-Menyediakan peluang pekerjaan -Menambah pendapatan orang ramai

-Membangunkan harta dan asset umat islam

-Mewujudkan barang dan perkhidmatan baru kepada masyarakat

-Memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan

-Menaiktaraf kehidupan masyarakat

6) Apakah cabaran dalam mengimarahkan wakaf ?

-Kurang kefahaman dan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai ibadah wakaf

-Pewakafan yang tidak didaftarkan secara sempurna mengikut prosedur

-Keadaan fizikal tanah yang tidak sesuai

-Pencerobohan ke atas tanah wakaf

-Dana pembangunan wakaf tidak mencukupi

7) Apakah Syarat-Syarat Harta Wakaf ?

-Harta itu mestilah terdiri daripada sesuatu benda yang dapat diambil manfaatnya.

-Harta yang diwakafkan kepada penerima wakaf wujud pada waktu itu.

-Harta yang diwakafkan itu dapat memberi faedah yang berpanjangan.

-Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi hukum syarak.

-Harta yang diwakafkan ditentukan jenis, bentuk, tempat, luas dan jumlahnya -Harta yang telah dilunaskan segala pembayaran dan tuntutan keatasnya dan menjadi pemilikan penuh pewakaf.

8) Apakah Perbezaan Diantara Wakaf dan Sedekah?

Wakaf adalah amalan menyerahkan harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk kegunaan bersama dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di mana harta yang diwakafkan hendaklah berbentuk kekal sifatnya, harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, diwarisi, diambil semula dan diwasiatkan kerana telah menjadi milik Allah S.W.T buat selamalamanya. Ganjaran pahala pewakaf akan mengalir dan berkekalan selagi mana harta yang diwakaf masih boleh diambil manfaatnya. Para fuqaha’ berpendapat bahawa wakaf adalah satu-satunya bentuk sedekah yang berbentuk jariah (berkekalan) kerana konsep wakaf adalah berkekalan sifatnya. Sedekah ialah amalan memberikan apa-apa jua bentuk harta benda kepada golongan fakir, miskin, anak yatim atau orang yang berhajat dengan ikhlas kerana Allah S.W.T dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T. Sedekah boleh dilakukan dalam apa-apa jua bentuk pemberian seperti makanan, pakaian, barangan, wang dan harta yang kekal. “Dan yang dikatakan berbuat baik ialah orang yang memberikan harta yang dicintai kepada saudaranya yang miskin, anak-anak yatim, orang miskin, ibnu sabil dan orang yang berhajat”. (Surah Al-Baqarah (2) : 177)

9) Apakah perbezaan diantara Wakaf dan Zakat?

Hukum membayar Zakat adalah wajib manakala hukum amalan Wakaf adalah harus di dalam syariat Islam. Zakat adalah satu kewajipan mengeluarkan harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah ditetapkan dengan kadar tertentu yang merupakan salah satu rukun yang terdapat di dalam Rukun Islam. Kelebihan kewajipan membayar zakat adalah dapat mensucikan diri daripada sifat bakhil dan tamak dengan cara membelanjakan harta yang ada ke jalan yang diredhai Allah S.W.T. Amalan zakat dapat menyuburkan harta pembayarnya disamping dapat memastikan juga harta tersebut bersih daripada hak orang lain. Dalil suruhan membayar zakat adalah seperti berikut: "Dan dirikanlah kamu akan solat serta zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah An-Nur (24): 56)

10) Bagaimana seseorang ingin mewakafkan gartanya dijalan Allah S.W.T Apabila seseorang ingin mewakafkan harta miliknya ke jalan Allah S.W.T. hanya perlu menyediakan beberapa perkara seperti berikut :

1. Pemohon perlu mengisi borang lafaz wakaf am/ khas di Pejabat Agama Daerah masingmasing dengan di sertakan salinan kad pengenalan, surat hakmilik tanah yang asal,resit cukai tanah dan pelan kawasan yang akan di wakafkan.

2. Setelah semua maklumat telah lengkap diisi, pemohon hendaklah melafazkan ikrar wakaf dihadapan Khadi/ Pegawai Agama Daerah masing-masing.

3. Pemohon juga perlu mengisi dan menandatangani borang 14A / 12B bagi permohonan pindahmilik tanah di hadapan pentadbir tanah Daerah yang berkenaan.

4. Kemudian pihak Pegawai Agama Daerah akan menyerahkan permohonan tersebut kepada Setiausaha Majlis Agama Islam Negeri Kedah untuk dibuat permohonan wakaf tanah dan menjadi hakmilik Majlis Agama Islam Negeri Kedah.

11) Kemanakah dana wakaf akan disalurkan?

Dana wakaf akan dikumpulkan di dalam satu tabung khas dan akan disalurkan untuk tujuan pendidikan, kesihatan dan pelaburan.

Updated:: 24/05/2017 [muhammad.isam]

MEDIA SHARING

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-89471021/1022
03-89472048
C1506294384