Waspada 'scammer' Kutip Sumbangan Untuk Palestin - KPN | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Waspada 'scammer' kutip sumbangan untuk Palestin - KPN

Waspada 'scammer' kutip sumbangan untuk Palestin - KPN

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan masyarakat untuk berwaspada dan menyemak kesahihan wakil yang menguruskan sumbangan bagi solidariti rakyat Palestin.
 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini bagi mengelakkan orang awam daripada menjadi mangsa penipu.
 
Menurutnya, dalam perkara itu, masyarakat perlu berwaspada untuk mengelak daripada terjerat dengan tindakan tidak bertanggungjawab mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan.
 
"Semua lapisan masyarakat yang ingin menyalurkan sebarang bentuk bantuan dinasihat agar menyemak kesahihan wakil menguruskan sumbangan serta mengambil langkah teliti demi mengelak daripada menjadi mangsa scammer.
 
"PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) akan meningkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak dikesan cuba mengambil kesempatan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
 
Beliau berkata, PDRM juga menasihatkan warga Malaysia agar tidak membuat pergerakan ke kawasan konflik atas faktor keselamatan.
 
Tambahnya, polis juga memantau rapi aspek ini dan telah menggerakkan elemen-elemen berkaitan khususnya cawangan khas dalam memastikan tiada penglibatan rakyat Malaysia yang terlibat sehingga mewujudkan risiko keselamatan diri.
 
Dalam pada itu, pihak polis juga menggesa rakyat Malaysia untuk menggunakan saluran dan medium aman sejahtera dalam menyuarakan solidariti kepada rakyat Palestin yang ditindas rejim Israel.
 
"Iringan doa dan sokongan moral rakyat Malaysia merupakan solidariti terbaik kepada rakyat Palestin yang ditindas.
 
"Polis akan mengambil langkah-langkah untuk memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan atas belas ihsan rakyat Malaysia serta memastikan keselamatan rakyat dalam usaha memberikan sokongan kepada rakyat Palestin," ujarnya. - Sinar Harian

Tarikh Input: 27/10/2023 | Kemaskini: 27/10/2023 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEcFAq~