Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 1) | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 1)

Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan (Bahagian 1)

                                                                                                                    Bahagian   1

 

 

Wakaf; Legasi Silam Yang Dilupakan

 

 

     “… pembinaan infrastruktur seperti jalanraya, jambatan, dan sistem pengairan; perkhidmatan kebajikan seperti pembinaan hospital penjagaan orang-orang miskin dan mereka yang memerlukan bantuan; perkhidmatan pendidikan dan budaya seperti pembukaan sekolah, perpustakaan, universiti, menyediakan keperluan biasiswa kepada pelajar dan pembayaran gaji pendidik; perkhidmatan keagamaan seperti pembinaan masjid dan pembayaran gaji orang-orang yang terlibat dalam keagamaan yang semuanya dilaksanakan melalui wakaf.”

 

 
 

(Bahaedin Yedyyildiz, Place of the Waqf in Turkish Cultural System)

 

 

            Sedutan di atas memberi rumusan sebenar kehebatan dan peranan wakaf dalam kehidupan masyarakat Muslim. Malangnya, sumbangan dan peranan wakaf dalam pembangunan masyarakat telah tenggelam dalam zaman ekonomi moden hari ini, sehingga institusi yang begitu hebat ini hanya dikaitkan dengan madrasah, masjid dan tanah-tanah perkuburan sahaja. Kegemilangan institusi wakaf kian terpinggir dan semakin dilupakan. Wakaf yang nyata berakar umbi daripada perundangan Islam diterima dan giat diamalkan oleh masyarakat Barat hari ini menerusi aktiviti-aktiviti philanthrophy dengan menggunakan pelbagai istilah seperti foundations, charitable funds dan endowment. Wakaf ibarat terkubur sebelum ajalnya. Inilah persoalan yang harus di renungkan semula dan difikirkan bersama oleh masyarakat Islam sejagat.

            Menurut Heffening, institusi wakaf telah dibangunkan seawal abad pertama selepas hijrah dan telah menjadi perundangan yang rigid pada abad kedua selepas hijrah. Amalan mewakafkan harta untuk tujuan kebaikan (qurba) dan mendekatkan diri dengan Allah SWT (taqarrub) adalah satu sistem pemindahan harta dan manfaat daripada seseorang (pewakaf) kepada pihak yang yang ditentukan (penerima manfaat wakaf) yang bersifat kekal. Amalan ini mengambarkan satu sistem yang secara keseluruhannya memberi tumpuan kepada kebahagian umat manusia sejagat. Pewakaf gembira kerana dapat membantu mereka yang memerlukan bantuan yang didorong oleh keinsafan untuk mendapatkan rahmat Allah SWT, sementara penerima wakaf pula, bersyukur kerana keperluan asasnya dapat dipenuhi. Akhirnya, kegembiraan, kebahagian dan kesyukuran dipenuhi secara kolektif dalam kehidupan masyarakat tanpa menimbulkan sebarang konflik antara satu sama lain

              Walaupun wakaf telah diketahui umum, tetapi pendekatan dan penggunaannya yang berbeza-beza kadangkala menimbulkan kekeliruan. Ini kerana Al-Quran dan Al-Sunnah tidak memberi panduan secara terperinci bagaimana seharusnya harta wakaf diuruskan. Menurut Wahbah al-Zuhaili banyak daripada pandangan para fuqaha’ dalam hal berkenaan wakaf berasaskan kepada ijtihad masing-masing. Justeru itu tidak hairanlah jika terdapat perbezaan pendapat di kalangan ahli fiqh ketika membahaskannya yang tidak terlepas daripada pengalaman, sosiobudaya, pengaruh aliran sekolah perundangan atau mazhab, struktur kekuasaan politik dan sistem perundangan yang berkuatkuasa di negara tersebut.

               Namun begitu, konsep dan tujuan wakaf dapat dilihat dalam hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari yang telah menjadi locus classicus di kalangan ilmuan Islam apabila membincangkan wakaf. Antara maksud hadis tersebut ialah;

 

 

        “bahawa Saidina Umar ra pernah berkata: Wahai Rasulullah SAW, saya telah memperolehi harta yang saya tidak pernah perolehi sebelum ini dan saya ingin menghampiri Allah SWT menerusinya … lalu dijawab oleh Rasulullah SAW, Tahankan (wakafkan) asal harta itu dan sedekahkan hasilnya. Lalu Saidina Umar ra jadikan hartanya itu (tanah perolehan di Khaibar sebagai harta sedekah yang tidak boleh dijual, dibeli dan diwarisi … “.

 


          Jika diteliti hadis di atas, jelas konsep wakaf sebagai salah satu mekanisma untuk penjanaan, perpindahan dan pengagihan kekayaan harta dalam masyarakat Islam. Keistimewaan dan keunikan wakaf terletak kepada konsep pemisahan antara hak pemilikan dan hak penggunaan. Atas dasar inilah faedah yang boleh dinikmati daripada aset wakaf berbentuk kekal kerana ia tidak bergantung kepada entiti pemilik yang bersifat sementara seperti tercatat dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim bahawa Rasullullah SAW bersabda yang bermaksud ; “ … Jika anak Adam telah meninggal, maka putuslah semua amalnya kecuali tiga; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak sholeh yang mendoakan keduanya …”                                                      

           Para ulama bersependapat bahawa sedekah jariah yang disebutkan dalam hadis di atas dimaksudkan kepada amalan wakaf. Wakaf telah digunakan bukan sahaja sebagai satu mekanisma untuk pengagihan semula kekayaan tetapi juga untuk memperkukuhkan keupayaan individu dan masyarakat yang memerlukan bantuan dengan menyediakan laluan bagi mendapatkan kemudahan asas yang sangat diperlukan seperti modal pinjaman, pengagihan makanan yang berkhasiat, perpustakaan, madrasah, sekolah, universiti, hospital, rumah-rumah tumpangan dan kebajikan, dan kemudahan infrastruktur (jambatan, jalanraya dan sistem perparitan). Jabatan Kerja Raya yang bertanggungjawab dalam merancang, membangun dan mengawal infrastruktur negara tidak pernah wujud sepanjang pemerintahan kerajaan Islam kerana semua tugas ini telah dilaksanakan oleh masyarakat melalui institusi wakaf. Puteri Zubaidah iaitu isteri kepada khalifah Harun al-Rashid umpamanya, telah membina jalan daripada Baghdad sehingga ke Mekah untuk kemudahan jemaah yang mengerjakan Haji melalui harta-harta wakaf yang dibangunkannya.

            Ibnu Battutah, salah seorang pelayar Islam semasa melawat Damascus pada tahun 726 M menyebut dalam buku catatanya Rihlah Al-Batutah bahawa kepelbagaian dan perbelanjaan wakaf adalah sangat menakjubkan. Terdapat pelbagai jenis wakaf seperti wakaf untuk orang yang tidak mampu mengerjakan Haji di Mekah, wakaf sumbangan perkhawinan untuk wanita yang keluarganya tidak mempunyai kemampuan, wakaf untuk membebaskan pesalah, wakaf makanan, pakaian, meningkatkan kemudahan awam seperti jalanraya dan kaki-kaki lima jalan untuk kemudahan orang ramai.  Beliau juga mencatatkan “ … semasa saya berjalan di bandar Damascus, saya ternampak seorang hamba secara tidak sengaja telah menjatuhkan mangguk porsilin daripada China. Hamba tersebut ketakutan lalu dikerumi oleh orang ramai. Salah seorang daripada mereka telah meminta hamba tersebut mengutip serpihan mangguk untuk dibawa kepada pengurus wakaf. Beliau telah membawa serpihan tersebut dan telah menerima bayaran yang sama bagi harga mangguk tersebut …”  Begitulah hebatnya peranan wakaf yang tidak membezakan antara konsep tuan dan hamba.

            Pada zaman pertengahan, menurut Profesor Norman A. Stilman sebahagian besar daripada kebajikan dan perkhidmatan sosial dalam dunia Islam disumbangkan melalui wakaf. Institusi ini telah memenuhi fungsi kebajikan yang sangat luas seperti yang disebut oleh Lord Macnaghten pada akhir abad yang ke 19 dalam ulasan beliau ke atas English Charitable Act, “ … pengurangan kemiskinan, kemajuan pendidikan dan pegembangan agama dan sebarang tujuan lain yang memberi manfaat kepada komuniti walaupun tidak termasuk dalam mana-mana kategori yang disenaraikan … “ D. S. Power dalam kajiannya terhadap perkembangan institusi wakaf di Juruselam di antara tahun 1525-1572 telah mengenalpasti lebih daripada 35 harta yang telah diwakafkan untuk manfaat kebajikan masyarakat seperti kedai, rumah kediaman, dewan, bangunan perusahaan, ladang, tanaman, kolam, percetakan dan universiti. Malah, menurut Profesor Dr. Yusof Al-Qardawi dalam bukunya Kemiskinan dan Cara Islam Mengatasinya kaum muslimin sangat peka terhadap pelbagai hajat dan keperluan makhluk Allah SWT, betapapun kecilnya hajat dan keperluan tersebut. Mereka turut mewakafkan harta untuk mendirikan hospital bagi merawat haiwan yang sakit serta memberi makan kepada anjing-anjing yang berkeliaran. Jika mereka begitu teliti dalam memerhatikan kesejahteraan haiwan-haiwan terbiar, bagaimana pula agaknya perkhidmatan mereka terhadap manusia selaku makhluk yang dimuliakan?.

            Kajian menunjukkan semasa era pemerintahan Seljukid dan empayar Ottmaniah daripada pertengahan abad ke-8 sehingga akhir abad ke-19, ribuan individu tanpa mengira fahaman dan kepentingan diri telah mewakafkan harta milik mereka untuk kemajuan masyarakat. 300,000 wakaf telah ditadbir di bawah pentadbiran sanjak. Belanjawan wakaf pula mencecah satu per tiga daripada keseluruhan belanjawan kerajaan Ottmaniah. Kekayaan individu bertukar menjadi ribuan perkampungan dan ratusan bandar menerusi konsep wakaf.  Bandar-bandar yang berkonsep spiritual, intelektual dan memenuhi keperluan biologi dianggap sebagai bandar untuk kemanan oleh ahli falsafah Turki yang agung iaitu Farabi. Ia dibangunkan melalui 3 fasa iaitu fasa kompleks (terdiri daripada rumah ibadat, perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, rumah tetamu, pusat pengedaran makanan kepada orang miskin, hospital, kolam, perkhidmatan air awam, dan tanah perkuburan), fasa kulliye (terdiri daripada bangunan perniagaan, kedai, bazar, pasar tertutup dan rumah-rumah penginapan peniaga), dan fasa ketiga pula menempatkan kawasan penempatan penduduk. Masjid telah dibina dan ditempatkan di tengah bandar berfungsi sebagai pusat kecemerlangan ilmu. Du Frasne Canaye yang melawat Istanbul pada tahun 1576 menyebut bandar Turki sebagai bandar yang wujud melalui hubungan antara alam, manusia dan Tuhan menerusi wakaf. 

                   Peranan dan fungsi wakaf juga turut berkembang di seluruh empayar Ottmaniah. Menurut M. Kiel seorang orientalis Belanda dalam kajiannya  terhadap peranan wakaf di Turki bahawa kawasan bergurun di Tenggara Bulgaria iaitu antara bandar Filibe dan Edirne yang sangar sukar untuk dihuni telah dibangunkan melalui wakaf di bawah pemerintahan Turki. Sebanyak 142 buah universiti, 273 jambatan, 16 rumah tumpangan dan sebagainya juga telah turut dibiayai melalui wakaf. Di Cyprus, pada tahun 1879 terdapat 87 buah sekolah dan universiti, 9 buah rumah kebajikan dan  3 perkhidmatan air awam untuk kepentingan masyarakat. 800 dan 786 buah universiti dibangunkan melalui wakaf di Cecennestan dan Azerbaican. Bonda Sultan Abd. Hamid I pula telah mewakafkan rumah sakit Ghuraba El Muslimin di Istanbul yang telah memberi perkhidmatan rawatan kepada lebih daripada 35,900 pesakit setiap tahun. Peranan dan kehebatan wakaf di zaman empayar Ottmaniah disebut oleh Profesor Baheddin Yedyyildiz, “Terima kasih kepada wakaf yang berkembang subur semasa empayar Ottmaniah; insan dilahirkan dalam rumah wakaf, tidur dalam buaian wakaf, makan dan minum daripada harta wakaf, membaca buku yang diwakafkan, menerima pendidikan di sekolah wakaf, menerima gaji daripada pentadbiran wakaf dan bila insan ini meninggal dunia, diletakkan dalam keranda dan dikebumikan di tanah kubur yang diwakaf …”. Malah, di akhir pemerintahan empayar Ottmaniah tiga per empat keluasan tanah arab merupakan tanah wakaf. Pada pertengahan abad  yang ke sembilanbelas; separuh daripada tanah di Algeria, satu per tiga keluasan tanah di Tunisia, satu per lapan tanah pertanian di Mesir merupakan tanah wakaf.  

           Model wakaf juga telah mempengaruhi masyarakat Barat sebagai asas yang penting dalam pembangunan masyarakat menerusi penubuhan institusi-institusi pendidikan, perkhidmatan sosial dan kebajikan. Pada tahun 1264, Walter de Melton yang pernah bertugas sebagai Canselor Raja England di Juruselam telah menubuhkan Kolej Melton di University Oxford melalui konsep wakaf. Tiga buah universiti yang telah diiktiraf sebagai terbaik di dunia iaitu Universiti Havard, Universiti Oxford dan Kellog Business School dibangunkan dengan menggunakan konsep endowment. Universiti Harvard mengumpul sejumlah USD14 bilion dalam bentuk endowment yang digunakan untuk membiayai aktiviti-aktiviti pendidikan dan penyelidikan, penyelenggaraan perpustakaan dan pengendalian tabung biasiswa. Penubuhan tabung-tabung amanah dan yayasan kebajikan atau foundation antara lain bertujuan untuk menyokong dan meningkatkan kegiatan seni, kebajikan dan perlindungan kanak-kanak, korporat, pendidikan, persekitaran, kewartawanan, penyelidikan perubatan dan agama. The Alfread P. Sloan Foundation yang ditubuhkan pada tahun 1934 mempunyai aset USD1,373,911,437 bermatlamat untuk membantu dan menyokong pembangunan sains dan teknologi, peningkatan prestasi ekonomi dan kehidupan, pendidikan dan program-progran sivik. Pendekatan baru terhadap pemilikan sumber alam dengan menggunakan pendekatan public trust telah mula dijadikan amalan khususnya di Amerika Syarikat dan Britain.  The Trust for Public Land (TPL) dan The National Park Trust (NPT) yang ditubuh pada tahun 1972 dan 1982 di Amerika Syarikat misalnya berperanan membantu masyarakat mewujudkan greenprint for growth dengan melindungi dan  mempromosikan kepentingan tanah awam. Jeremy Refkin dalam bukunya The End of Work yang diterbitkan pada tahun 1996 menyarankan kepentingan sektor ini untuk digunakan sebagai alternatif mengurangkan bebanan kerajaan ke arah pembangunan masyarakat yang lebih menyeluruh. Konsep-konsep dalam pelbagai istilah serta saranan seperti di atas telahpun diamalkan dalam negara Islam menerusi wakaf lebih daripada 1400 tahun yang lalu, sebelum lahirnya The Doctrines of Trust and Uses dalam Perundangan Inggeris. Tetapi, umat Islam lebih mengenali endowment, trust fund, foundation, estate planning dan konsep-konsep philanthropy (giving, donation dan charitable fund). Wakaf terus terpinggir dan dilupakan dari minda umat Islam dalam arus peredaran zaman, mengapa?.

 

 

Dr. Razali Othman

Pengarah

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN)

 

 

 

 

 

 

 

             

 

 

 

 

 

 

 

 

                                                 

 

Tarikh Input: 01/10/2018 | Kemaskini: 04/10/2018 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEcHAs~