PENJELASAN PENGGUNAAN RESIT DERMA - LHDNM | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » PENJELASAN PENGGUNAAN RESIT DERMA - LHDNM

PENJELASAN PENGGUNAAN RESIT DERMA - LHDNM

Penjelasan Umum Penggunaan Resit Derma Bagi Institusi/Organisasi/Tabung Yang Diluluskan Oleh Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) Di Bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP 1967)
  1. Nota ini bertujuan memberikan penjelasan berkenaan dengan tatacara pengeluaran resit derma/sumbangan oleh institusi/organisasi/tabung yang diluluskan oleh KPHDN dibawah subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967. Semoga nota ini dapat membantu memberikan kefahaman dan penjelasan kepada pembayar cukai, ejen cukai, pegawai LHDNM dan rakyat umum berkaitan tatacara pengeluaran resit derma/sumbangan oleh institusi/organisasi/tabung kepada penderma/penyumbang serta tanggungawab penderma/penyumbang.

  2. Pembayar cukai yang membuat sumbangan dan derma kepada kerajaan,kerajaan negeri atau kerajaan tempatan , atau kepada sesebuah institusi atau organisasi yang telah diluluskan di bawah subseksyen 44(6) ACP layak untuk mendapat tolakan atas sumbangan dan derma mereka dalam pengiraan pendapatan agregat.

  3. Jenis-jenis pelepasan cukai:-
    1. Derma atau sumbangan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Tempatan adalah bersamaan amaun derma dan sumbangan serta perlu dibuktikan dengan Resit Kew-38.
    2. Derma atau sumbangan di bawah kelulusan Ketua Pengarah, amaun adalah terhad 10% daripada pendapatan agregat kepada individu dan syarikat.

  4. LHDNM mengiktiraf 2 jenis resit untuk tolakan cukai di bawah peruntukan subseksyen 44(6) ACP iaitu Resit Kewangan 38 (Kew-38) dan resit kelulusan KPHDN. Resit Kew-38 adalah derma kepada kerajaan / kerajaan negeri, kerajaan tempatan manakala resit kelulusan KPHDN adalah resit dari institusi / organisasi / tabung yang mendapat kelulusan KPHDN di bawah subseksyen 44(6) ACP.

  5. Hanya sumbangan dan derma wang tunai yang disokong oleh resit-resit rasmi layak untuk tolakan. Sumbangan dan derma barangan (misalnya makanan, pakaian, computer dan sebagainya) tidak layak untuk tolakan cukai.
    • 5.1 Contoh 1
      • Pendapatan agregat Puan Alia bagi tahun taksiran 2022 adalah berjumlah RM350,000. Derma yang disumbangkan oleh beliau adalah seperti berikut:
        • derma tunai berjumlah RM 40,000 kepada Kerajaan Negeri Selangor
        • derma tunai berjumlah RM 2,000 kepada University of Melbourne Alumni
        • derma makanan berjumlah RM 100 kepada gelandangan
        • derma perabot berjumlah RM 500 kepada Kelab Kebajikan di pejabatnya
        Jawapan :
        Amaun Pendapatan agregat RM 350,000
        • Derma yang dibenarkan tolakan adalah derma tunai berjumlah RM 40,000 kepada Kerajaan Negeri Selangor

    • 5.2 Contoh 2
      • Pendapatan agregat Encik Raymond bagi tahun taksiran 2022 adalah berjumlah RM150,000. Derma yang disumbangkan oleh beliau adalah seperti berikut:
        • derma tunai sebanyak RM 16,000 kepada Yayasan Astro Kasih
        • derma tunai sebanyak RM 1,500 kepada Tabung Pembinaan Gurdwara Sahib Sikh Temple Sentul
        • derma pakaian berjumlah RM 800 kepada Rumah Anak Yatim Sri Andalas
        Jawapan :
        Amaun Pendapatan agregat RM 150,000
        • Derma yang dibenarkan adalah derma tunai sebanyak RM 16,000 kepada Yayasan Astro Kasih dan derma tunai sebanyak RM 1,500 kepada Tabung Pembinaan Gurdwara Sahib Sikh Temple Sentul tetapi terhad kepada 10% daripada pendapatan agregat. Oleh itu, jumlah derma dibenarkan tolakan adalah terhad kepada RM15,000 sahaja.

  6. Pembayar cukai perlu menyimpan resit-resit tersebut sebagai bukti bagi tujuan rujukan dan semakan sekiranya diperlukan kelak.
PENAFIAN: Nota ini hanya bertujuan bagi memberikan penjelasan umum terhadap persoalan berbangkit sahaja. Ia tidak boleh digunakan bagi tujuan rujukan kes kepada persoalan fakta dan kes undang-undang. Layanan terhadap persoalan fakta adalah mengikut peruntukan undang-undang dan garis panduan sedia ada. Nota Amalan ini hanya memberikan panduan dan penjelasan umum bagi tujuan kefahaman ,pendidikan dan kesedaran semata-mata.

Sumber rujukan dari laman web: https://www.hasil.gov.my/institusiorganisasitabung-bukan-berasaskan-keuntungan/resit-dermasumbangan/penjelasan-penggunaan-resit-derma/

 

 

Tarikh Input: 14/12/2023 | Kemaskini: 14/03/2024 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEcGAW~