Indahnya Wakaf : Dunia Dan Akhirat Penuh Barakah | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Indahnya Wakaf : Dunia dan Akhirat Penuh Barakah

Indahnya Wakaf : Dunia dan Akhirat Penuh Barakah

Sejak beratus tahun yang lalu, Wakaf telah digunakan sebagai satu kaedah yang digunakan Muslim seluruh dunia untuk menyedekahkan harta yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai dan pada pada masa yang sama, menjana pahala berterusan kepada pemberi sedekah.

 

Berbanding sedekah yang pahalanya mungkin diterima pada waktu sedekah diberikan dan manfaat hanya dirasai penerima sedekah, wakaf membolehkan harta amal kebaikan yang mendatangkan pahala walau selepas orang yang melakukannya meninggal dunia.

 

Rasulullah SAW bersabda maksudnya,

“Sesungguhnya antara amal kebaikan yang mendatangkan pahala selepas orang yang melakukannya meninggal dunia ialah ilmu yang disebarluaskannya, anak soleh yang ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai, dan harta yang disedekahkannya”

 

Dalam hadis ini disebut tujuh jenis amal yang tergolong sebagai amal jariah yang mana apabila dilakukan, pelaku masih terus menerima pahala walau selepas meninggal dunia.

 

Sesungguhnya dalam Islam, kita semua digalakkan mencari rezeki dan mengumpul harta kerana dengan adanya harta, dapatlah kita beramal soleh dan amal jariah yang kelak akan menjadi sumber pahala berterusan walau selepas kita meninggal dunia.

 

Rasulullah SAW bersabda, “Apabila anak Adam (manusia) meninggal dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga macam perbuatan, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya” (Hadis Riwayat Muslim). 

 

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menerangkan bahawa maksud ‘sedekah jariah’ yang disebut di atas merujuk kepada wakaf kerana ia memberi manfaat yang berterusan kepada orang ramai.

 

Ganjaran pahala yang akan berterusan sampai bila-bila selagi harta wakaf itu kekal dan dimanfaatkan  merupakan kelebihan wakaf yang sangat besar. Selain itu, kelebihan berwakaf juga ialah ia secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan, perkongsian aset dan juga mengukuhkan ekonomi umat Islam.

 

Tanpa sedekah atau amal jariah, tiada lagilah peluang untuk kita menambah pahala kecuali daripada 3 perkara yang dinyatakan Rasullullah dalam hadis diatas. Persoalannya, adakah kita yakin kita sudah mempunyai pahala yang cukup sebagai bekalan di Akhirat kelak?

 

Tanpa 3 perkara ini, walau sebanyak manapun harta yang kita miliki di dunia ini, ia tidak memberi makna selepas kita meninggal dunia.

 

Justeru Islam menggalakkan supaya kita mengumpul harta dan pada masa yang sama sentiasa bermurah hati untuk bersedekah dan berwakaf sebagai sumber pahala berterusan. Antara yang boleh dilakukan ialah dengan mewakafkan tanah untuk masjid, sekolah dan tanah perkuburan.

Antara contoh pewakaf terkenal ialah sahabat Rasullullah S.A.W sendiri iaitu Saidina Uthman Ibn ‘Affan RA yang mewakafkan perigi air ‘Bi’ru Rummah’. Kisahnya ialah pada zaman itu berlakunya musim kemarau yang panjang menyebabkan air sangat susah diperoleh. Hanya ada satu sumber air yang masih ada iaitu sebuah perigi air namun pemiliknya ialah individu berketurunan Yahudi yang menjual air daripada perigi berkenaan dengan harga yang sangat mahal.

 

Saidina Uthman Ibn ‘Affan RA yang mendapat tahu mengenai keadaan itu segera membeli perigi berkenaan dan mewakafkannya supaya semua orang dapat menikmati air perigi berkenaan secara percuma. Apa yang paling menarik, perigi berkenaan masih terus memberi manfaat kepada penduduk Madinah ketika ini. Bayangkan saja pahala yang masih diterima oleh Saidina Uthman hasil daripada wakaf berkenaan.

 

Apa Itu Wakaf?

 

Wakaf ialah amalan ibadah yang digalakkan untuk umat Islam yang berkemampuan. Ia bertujuan untuk memberikan kesenangan yang juga boleh dinikmati oleh golongan kurang berkemampuan dan juga meraih ganjaran pahala yang berterusan bagi pemberi wakaf. Dari segi istilah ia bermaksud apa juga harta yang ditahan atau dihentikan oleh hak pewakaf daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya.  Ada tiga elemen wakaf dan kami kongsikan di bawah:

Wakaf

 

Harta yang diwakafkan itu pula dikenali sebagai ‘Mauquf’, dan ia perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan iaitu:

  1. Harta yang merupakan hak milik sempurna pewakaf
  2. Harta itu boleh diserahkan dan ia bukan harta yang ditahan contohnya seperti harta orang yang telah disytihar muflis atau harta anak yatim
  3. Harta yang berbentuk kekal dan juga mempunyai nilai yang bersesuaian dengan hukum syarak yang telah ditetapkan, dan boleh memberi manfaat

 

Kemudian, ada tiga syarat untuk wakaf itu sah iaitu: 

  1. Wakaf itu tidak dihadkan untuk tempoh tertentu
  2. Tujuan dan maksud wakaf yang jelas
  3. Wakaf dilaksanakan secara tunai tanpa ada syarat

 

Bagaimana untuk Mewakafkan Harta?

 

Terlalu banyak pilihan untuk kita berwakaf sehinggakan ada pihak yang menawarkan wakaf diluar negara. Namun begitu dalam memuat keputusan untuk berwakaf, kita perlulah berhati-hati kerana tidak semua wakaf itu sah dan betul pelaksanaannnya.

 

Adalah lebih baik berwakaf dengan pihak yang berdaftar dan buatlah kaji selidik mengenai pengurusan pihak yang menawarkan wakaf berkenaan. Sudah pasti kita tidak mahu kecewa selepas meletakkan harapan tinggi apabila berwakaf, rupa-rupanya ‘ia hanya indah khabar dari rupa’.

 

Untuk mengelak dari keraguan dan kerugian, pilihlah untuk mewakafkan harta bersama Mutawalli yang diiktiraf pihak berkuasa agama negeri seperti ASNB Wakalah yang menawarkan Wakaf ASNB.

 

Wakaf ASNB membolehkan pemegang unit amanah ASNB berwakaf menggunakan pelaburan sedia ada dengan jumlah minimum yang boleh diwakafkan ialah RM1,000.

 

Kelebihan Wakaf ASNB ialah:

  • Dana wakaf yang berterusan
  • Tadbir urus telus dan informatif, dan pewakaf akan terima laporan tahunan tentang agihan sumbangan ke projek-projek wakaf, maklumat dana wakaf terkumpul dan juga hasil pulangan pelaburan daripada dana wakaf
  • Makluman wakaf akan diteruskan kepada waris atau penerima notis yang anda telah lantik
  • Permohanan yang mudah, melalui dalam talian di portal dan juga aplikasi myASNB atau di cawangan ASNB.

Tarikh Input: 31/12/2023 | Kemaskini: 31/12/2023 | rizal_helmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXEcAAx~