Raih Ganjaran Di Bulan Ramadhan | PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
» ARTIKEL » Raih Ganjaran di Bulan Ramadhan

Raih Ganjaran di Bulan Ramadhan

Raih Ganjaran di Bulan Ramadhan

Pengenalan

Ramadhan itulah gelaran atau nama yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada penghulu segala bulan dalam Islam. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang teramat istimewa kerana pelbagai kelebihan dan peristiwa penting Islam telah Allah jadikan di dalam bulan keberkatan ini. Dalam bulan ini Allah telah menurunkan kitab suci yakni Al-Quran nur Karim. Kini semua masyarakat muslim mengelarnya malam nuzul al-Quran sempena memperingati malam penurunan Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W pada 17 Ramadhan. Di samping itu, Allah turut mengurniakan sebuah malam yang amat bernilai dan terdapat pada sepuluh malam terkhir Ramadhan iaitu malam Lailatul Qadar. Keistimewaan malam ini telah dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam firmannya yang bermaksud:

"Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan."

 (Surah Al-Qadr: 3).

Turut diperkukuhkan melalui sabda Rasulullah S.A.W seperti berikut:

Barang siapa yang bangun (untuk beribadah) pada malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan keikhlasan, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lampau."(HR Bukhari dan Muslim)

Keberkatan bulan Ramadhan ini dapat dilihat dengan janji Allah untuk mengurniakan nikmat dan pengampunan kepada semua hamba-Nya yang berpuasa dengan keihklasan dan mencari redha-Nya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Semua amal bani Adam (manusia) akan digandakan kebaikan sepuluh kali sampai tujuh ratus kali ganda. Allah ‘Azza wa Jalla berfirman, kecuali puasa, maka ia untuk-Ku dan Aku yang akan memberikan pahalanya.”

(Hadis riwayat Muslim)

Keimanan dan kepercayaan terhadap setiap janji Allah merupakan satu ujian kepada setiap muslim. Meskipun kita tidak dapat melihat secara lahiriah pahala itu tetapi dengan adanya keyakinan yang tingggi maka setiap hamba Allah perlu terus teguh beribadah dengan ikhlas dan pengharapan kerana ganjaran pahala itu benar.

Menyingkap akan kebesaran dan kemuliaan bulan Ramadhan, pada hari ini kita melihat bagaiman fenomena beribadah secara bermusim kerap dan acap berlaku dalam kalangan umat Islam. Perkara mustahak yang perlu untuk diperbaiki ialah bulan Ramadhan bukanlah bulan untuk kita mula beribadah tetapi di bulan inlahi kita perlu mengandakan ibadah dan kebaikan. Di dalam bulan lain kita sebagai muslim sejati perlu terus istiqomah dalam menjalankan setiap perintah Allah.

Ramadhan umpama madrasah yang mendidik diri dan jiwa setiap muslim untuk memperbaiki tingkah laku dan perbuatan kita. Berpuasa di bulan Ramadhan tidak hanya diukur menerusi usaha menahan lapar dan dahaga semata-mata. Bulan Ramadhan menjadi medan kita untuk melawan hawa nafus yang sebenarnya musuh utama dalam diri setiap hamba Allah. Maka, setiap anggota perlu dijaga sebaik mungkin antaranya mata, telinga, tangan, kaki, perut, hati dan kemaluan. Kualiti dalam beribadah puasa akan dapat diperolehi kerana hadirnya keihklasan kerana Allah. Kemanisan dalam beribadah pasti dirasai dan sekaligus membantu diri untuk menanam kesedaran akan cinta beribadah kepada Allah. Ibadah wajib terus dimantapkan dan disulami dengan ibadah sunat yang diperbanyakkan di bulan mulia ini.

Setelah kita berjaya meningkatkan kualiti ibadah wajib dan melawan hawa nafsu di bulan Ramadhan  maka kita dianjurkan untuk lebih bersifat dermawan di bulan Ramadhan. Amalan bertadarus al-Quran dan sedekah  merupakan dua ibadah penting dalam usaha kita mendapat syafaat di akhirat kelak. Sesungguhnya, kita perlu terus menyedari antara amalan yang paling dianjurkan oleh Allah SWT ialah bersedekah atau juga dikenali sebagai berinfaq. Ramai dalam kalangan masyarakat kita tidak menyedari akan hebatnya amalan bersedekah yang mampu menjadi penyuluh tatkala menempuhi alam barzakh kelak.

“Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.”

  (Hadis Riawayat: Thabrani)

Infaq akan menerangi kubur orang yang suka bersedekah dari kegelapan dan jauh dari kesempitan. Oleh itu, setiap hamba Allah hendaklah memperbanyakan amalan infaq di bulan Ramadhan dan istiqomah di bulan-bulan yang lain

Perintah Allah untuk setiap hambanya menyuburkan amalan bersedekah dapat dikaitkan dengan firman Allah dalam surah Ibrahim:

“Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku yang telah beriman: “Hendaklah mereka mendirikan shalat, menafkahkan sebahagian rezki yang Kami berikan kepada mereka secara sembunyi ataupun terang-terangan sebelum datang hari (kiamat) yang pada bari itu tidak ada jual beli dan persahabatan

  (Surah Ibrahim : 31)

Sifat kedermawanan yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W di bulan Ramadhan wajib kita contohi sebagai umat Islam yang sejati. Di dalam hadis Ibnu Abbas ada menceritakan akan sifat pemurah Rasulullah S.A.W:

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah orang yang paling dermawan, dan beliau bertambah kedermawanannya di bulan Ramadlan ketika bertemu dengan malaikat Jibril, dan Jibril menemui beliau di setiap malam bulan Ramadlan untuk mudarosah (mempelajari) Al Qur’an”

    (Hadis Riwayat: Al Bukhari).

Sehubungan itu, amalan bersedekah telah menjadi teras penting dalam kehidupan seorang muslim demi mendapatkan lipatan ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah S.W.T. Ketinggian nilai infaq di sisi Allah telah memberikan suntikan semangat kepada Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) untuk menyuburkan nilai bersedekah di universiti tercinta ini. Beberapa program berkonsepkan infaq telah berjaya dilaksanakan sempena bulan Ramadhan yang mulia.

Gandakan pahala dengan My Water @ WAZAN dan My Kurma@ WAZAN

Pembudayaan amalan berinfaq kini telah disebarluaskan dengan pelbagai medium atau kaedah yang unik dan istimewa. Sebelum ini, masyarakat kita hanya berfikir konsep sedekah hanya menyumbang duit ke dalam tabung masjid dan surau. Namun, hari ini WAZAN telah membuka satu lembaran baru dalam usaha meningkatkan semangat umat Islam untuk bersedekah iaitu dalam bentuk sumbangan makanan dan minuman. Kedua-dua projek ramdahan iaitu My Water@WAZAN dan MyKurma@WAZAN merupakan usaha murni WAZAN dalam membuka ruang dan peluang kepada oarng ramai berbakti dengan memberikan juadah berbuka puasa dan bersahur kepada masyarakat umum.

Kelebihan seseorang yang memberikan makan dan minum kepada orang yang berpuasa telah diejlaskan oleh Rasulullah S.A.W:

“Sesiapa memberi makan orang yang berpuasa, maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa tersebut, tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Gambar 1: Penyerahan Kurma di Pusat Zakat Universiti Infrastruktur

Oleh yang demikian, WAZAN komited untuk mengajak semua penyumbang di UPM dan masyarakat sekitar untuk menjayakan projek sempena bulan Ramadhan ini. Program Mywater@WAZAN ialah sebuah projek berbentuk sumbangan air mineral infaq yang akan diberikan kepada masjid, surau dan pusat tahfiz. Menerusi projek ini, para penyumbang boleh menyumbangkan serendah RM20.00  untuk sekotak air mineral.

Konsep derma air mineral ini membolehkan WAZAN menyampaikan air percuma kepada pelajar UPM dan masyarakat setempat bagi berbuka puasa dan bersahur. Projek My Water@WAZAN dijadikan sebagai program jangka masa panjang dan sedang giat aktif sepanjang bulan Ramdhan. Perkara yang amat istimewa berkaitan projek ini ialah penyumbang bukan sahaja dapat bersedekah. Tetapi hasil keuntungan projek ini akan disalurkan ke bentuk wakaf di dalam tabung Dana Wakaf Ilmu UPM. Secara langsung, para penyumbang bukan sahaja mendapatkan kebaikan dalam ibadah bersedekah tetapi juga dapat berwakaf bersama WAZAN.

Gambar 2: Penyerahan sumbangan air mineral Infaq di Pusat Tahfiz Al-Azhar

Di samping itu, sempena Ramadhan tahun ini, WAZAN juga berjaya menjalinkan kolobrasi dan kerjasama baik bersama syarikat Yusof Taiyoob. Projek MyKurma@WAZAN merupakan usaha WAZAN dalam menyuburkan amalan berinfaq dalam bentuk makanan Sunnah. Kurma merupakan makanan Sunnah yang amat dianjurkan dalam Islam dan sebagai hidangan atau makanan penting tatkala berbuka puasa dan bersahur.

Makanan Sunnah ini bukan sahaja mempunyai khasiat yang tinggi tetapi dapat mengalakkan masyarakat kita mengamalkan Sunnah rasulullah ketika berpuasa. Oleh itu, WAZAN melancarkan projek ini sebagai kerangka penting untuk membolehkan masyarakat umum dan warga UPM Khususnya menyumbang dengan pembelian sekilo kurma Mariami.

Sumbangan sebanyak RM 20.00 akan membolehkan penyumbang memberikan buah kurma berkualiti tinggi untuk dijamu oleh para penerima semasa iftar dan sahur. Dalam masa yang sama, hasil sumbangan juga akan dimasukkan ke dalam tabung WAZAN prihatin bagi membantu pelajar asnaf yang memerlukan.

Jelaslah bahawa dengan kesudian para penyumbang, mereka bukan sahaja menjamu makanan kepada penerima tetapi dapat membantu pelbagai jenis bantuan lagi kepada pelajar fakir dan miskin. Tabung UPM Prihatin ialah sebuah dana bantuan kepada pelajar dalam bentuk bantuan kewangan segera, bantuan sara diri dan sumber dana bagi menjayakan program pembangunan asnaf UPM.

Kesimpulan

Tuntasnya, usaha dalam meraih ganjaran pahala telah terbuka dengan luas dan dalam pelbagai bentuk yang sedia ada. Salah satu bentuk sedekah yang dapat dijalankan adalah melalui sumbangan dalam projek My Water@WAZAN dan My Kurma@WAZAN. WAZAN menjalankan tugas dengan penuh komited sebagai nadi pengerak program ini. Di samping itu, WAZAN sebagai perantara bagi menyampaikan niat dan sumbangan semua penyumbang kepada  semua penerima yang memerlukan.

Keberkatan bulan Ramadhan dan pengharapan terhadap rahmat Allah akan direalisasikan dengan berkat doa semua penerima sumbangan. WAZAN mengharapkan semua penyumbang akan terus istiqomah dalam membantu saudara semuslim agar mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan semangat dan gembira. Setiap titis air yang diminum dan kurma yang dimakan oleh penerima kita akan menjadi asbab terpenting dalam meraih kejayaan berharga sebagai hamba Allah dalam bulan Ramadhan al Mubarak. Akhir sekali, program ini diharapkan dapat membentuk umat Islam yang bersatu hati, prihatin dan saling mengasihi antara satu sama lain.

 

Disediakan Oleh:

Ibrahim bin Latola

Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Tarikh Input: 31/05/2019 | Kemaskini: 31/05/2019 | m.jazmi

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PENGURUSAN WAKAF, ZAKAT DAN ENDOWMEN (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
+603 9769 6155/6156
+603 9769 2048
SXDcVAI~