Dr Hjh Hasnah Wakaf Banglo Untuk UPM | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» ARTICLE » Dr Hjh Hasnah wakaf banglo untuk UPM

Dr Hjh Hasnah wakaf banglo untuk UPM

By WAZAN Online

 

 

SEREMBAN, 16 Oktober - Hasrat yang telah lama diimpikan oleh seorang bekas pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Dr. Hjh. Hasnah Udin untuk mewakafkan banglo beliau sebagai pusat jagaan warga emas yang lestari (jariah) kini menjadi kenyataan.

Pewakafan banglo tersebut menamakan UPM sebagai penerima manfaat mutlak (Mauquf 'Alaih) dan diletakhakkan ke atas nama Majlis Agama Islam Islam Negeri Sembilan (MAINS) sebagai Pemegang Amanah selaras dengan enakmen wakaf bahawa "Majlis Agama Islam Negeri merupakan Pemegang Amanah Tunggal bagi mana-mana harta wakaf di dalam negeri tersebut".

Menurut Dr. Hjh. Hasnah, banglo tersebut adalah milik bersama beliau dan suami iaitu Allahyarham Abdul Rahman Yaacob atau lebih dikenali dengan Pak Ngah Atan,  Dekan pertama Fakulti Kejuruteraan UPM. "Dengan mengumpulkan sebahagian hasil gaji kami semasa bertugas di UPM itulah kami mampu membeli banglo ini sejak lama dahulu dan atas sebab itulah kami merasakan kami perlu wakafkannya untuk UPM" katanya lagi. 

Beliau ketika melafazkan sighah hasrat wakaf banglo itu berkata, betapa besarnya harapan  beliau dan Allahyarham agar harta yang diwakafkan ini dapat dijadikan pusat jagaan warga emas atau apa-apa yang difikirkan sesuai oleh pihak UPM untuk kesejahteraan warga emas.

Banglo tersebut yang diberi nama "Teratak Pak Ngah Atan" terletak di Golf Height, Seremban dinilaikan sekitar RM626,000 dengan anggaran keluasan 8,000 kaki persegi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Wakaf Negeri Sembilan (PWNS), Tn Hj. Azzerol Effendi Abdul Kadir yang turut hadir pada majlis ringkas pewakafan banglo tersebut berkata, PWNS akan memberikan segala kerjasama dan bantuan bagi memastikan UPM dapat merealisasikan hasrat murni pewakaf.

Katanya lagi "Walau pun pusat jagaan warga emas bukanlah suatu keutamaan bagi PWNS kerana peranan untuk berbakti kepada orang tua adalah tanggungjawab anak-anak, namun penubuhan pusat ini merupakan idea yang sangat unik. Saya difahamkan bahawa konsepnya yang bersifat jagaan harian serta penyelidikan berstruktur yang dikendalikan oleh Institut Penyelidikan Penuaan Malaysia (IPPM) UPM pastinya akan mendatangkan pelbagai manfaat kepada masyarakat umum, khususnya bagi penduduk di sekitar Seremban".

Dr. Hj. Razali Othman, Pengarah Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dalam majlis yang sama turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Dr. Hjh. Hasnah seisi keluarga atas pewakafan tersebut. "Saya juga berterima kasih dan berharap akan lebih ramai lagi golongan hartawan yang berbesar hati mewakafkan sebahagian harta mereka untuk Dana Wakaf Ilmu UPM, khasnya daripada kalangan pesara dan alumni UPM" tambah beliau.

Menurut Timbalan Pengarah IPPM, Prof. Madya Ir. Dr. Siti Anom Ahmad, pihak IPPM telah pun bekerjasama dengan Fakulti Rekabentuk dan Seni Bina (FRSB) UPM untuk menyediakan pelan pengubahsuaian dan rekabentuk kemudahan di banglo tersebut mengikut piawaian terkini agar menepati keperluan warga emas. Tambah beliau "Pihak IPPM juga telah menyediakan modul penjagaan dan penyelidikan yang  boleh dijadikan penanda aras untuk digunapakai oleh mana-mana pusat jagaan warga emas".

Ustaz Nuruliman Ibrahim, Ketua Seksyen Pengurusan Dana Wakaf Ilmu UPM pula berkata inilah kali pertama dan pengalaman baru beliau menguruskan harta wakaf UPM di luar negeri Selangor. Menurutnya lagi "Pewakafan adalah suatu catatan amanah yang tidak boleh dipadam daripada sejarah, oleh kerana itulah sesiapa sahaja yang berwakaf maka pahalanya akan berkekalan sehingga ke hari kiamat. Alhamdulillah, pada peringkat ini kami semua sudah bersetuju untuk menamakan Pusat Jagaan dan Penyelidikan Warga Emas UPM-PWNS ini sebagai "Wakaf Pak Ngah Atan".

"Marilah sama-sama kita mendoakan semoga wakaf banglo ini akan Allah SWT gantikan dengan syurga yang paling indah di Akhirat dan mudah-mudahan sesiapa sahaja yang membantu merealisasikan hasrat pewakaf juga akan turut diundang sama untuk tumpang berhibur di sana" doa beliau semasa di akhir majlis tersebut. WAZAN ONLINE

wakaf banglo

Duduk dari kiri; Dr Hj Razali, Pn Hjh Nor Amriah, Dr Hjh Hasnah, Hj Azzerol Affendi. Berdiri dari kiri; Dr Siti Anom, En Nadzri, En Nuruliman, Dr Sharizal Dolah, En Wan Mazlan, Dr Noranita.

 

 

 

 

 

 

 

 

Updated:: 20/11/2017 [nuruliman]

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
89468993 | 89466156
03-89472048
C1513311550