Wakaf Tunai: Sejarah, Amalan Dan Cabaran Masa Kini | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» ABOUT US » Dari Meja Pengarah » Wakaf Tunai: Sejarah, Amalan dan Cabaran Masa Kini

Wakaf Tunai: Sejarah, Amalan dan Cabaran Masa Kini

Segala puji bagi Allah SWT, pemilik sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda,  para sahabat, muslimin dan muslimat, serta para pejuang Islam yang sentiasa mendukung dan menegakkan agama Allah Yang Maha Benar.

Wakaf dengan menggunakan wang tunai sebagai instrumennya atau yang lebih dikenali sebagai “wakaf tunai” telah diamalkan dalam kalangan masyarakat Islam sejak awal pemerintahan zaman kerajaan Uthmaniah lagi sehinggalah kejatuhannya pada tahun 1924. Sekarang wakaf tunai telah mendapat perhatian kembali. Ia dianggap sebagai sumber pembiayaan yang cukup penting dalam membangunkan semula harta-harta wakaf yang sedia ada, dan mewujudkan harta-harta wakaf baharu. Malah, wakaf tunai dilihat sebagai anak kunci yang paling berpengaruh kepada kejayaan institusi wakaf masa kini. Namun begitu, terdapat perbezaan antara amalan wakaf tunai pada zaman kerajaan Uthmaniah dengan wakaf tunai sekarang. Pada zaman kerajaan Uthmaniah, wakaf tunai dilakukan dengan menggunakan wang emas dan perak sebagai instrumennya. Tetapi sekarang, wakaf tunai dilakukan dengan menggunakan wang fiat.

Berlatarbelakangkan senario tersebut, terdapat tiga persoalan yang perlu dirungkai berhubung dengan penggunaan wang yang digunakan sebagai instrumen wakaf tunai. Pertama, apakah pandangan sarjana berkaitan dengan amalan wakaf tunai? Kedua, wang berubah secara evolusi. Bermula daripada wang komoditi kepada wang logam dan berubah lagi pada hari ini kepada wang fiat. Jadi, adakah wang fiat yang tidak disandarkan dengan sebarang nilai intrinsik, diurus secara legal tender dan nilainya yang ditentukan oleh kuasa pasaran selari dengan pensyariatan Islam? Apatah lagi, wang fiat dicipta oleh golongan kapitalis yang motifnya berteraskan keuntungan melampau? Ketiga, apakah strategi yang sesuai yang boleh diaplikasikan bagi merealisasikan wakaf tunai yang mematuhi pensyariatan Islam?

Sehingga hari ini belum ada mana-mana penulis di Malaysia, mahupun di luar negara yang membincangkan institusi wakaf tunai secara terperinci dari aspek susur galur sejarah, perkembangan dan cabaran yang dihadapi dalam menguruskannya. Apatah lagi perbahasan yang melibatkan wang fiat sebagai instrumennya. Seperti yang telah dijelaskan, wang atau tunai berupa emas dan perak telah digunakan sebagai alat berwakaf sejak di awal zaman pemerintahan kerajaan Islam sehingga kejatuhannya pada tahun 1924. Sedangkan pada hari ini, wang fiat yang tidak disandarkan dengan sebarang nilai intrinsik, diurus secara legal tender dan diperniagakan sebagai barangan komoditi di pasaran wang telah digunakan sebagai wang atau tunai untuk berwakaf.

Jadi, penelitian tentang penggunaannya sebagai alat berwakaf perlu diteliti serta dinilai semula. Apakah implikasi hukum? Apakah kesan penggunaan wang fiat terhadap keharmonian masyarakat? Lebih penting lagi, apakah penggunaan wang fiat ini dapat memenuhi maqasid atau tujuan pensyariatan wang tunai iaitu untuk melakukan kebaikan (qurba) dan mendekatkan diri dengan Allah SWT (taqarrub). Kedua-dua tujuan ini nanti pula akan menjadi teras kepada penciptaan manusia di muka bumi ini iaitu membina hubungan antara manusia dengan Allah SWT (hubungan menegak) dan hubungan antara manusia dengan makhluk yang lainnya (hubungan mendatar).

Maklumat ini sangat diperlukan oleh para pentadbir dan mereka yang terlibat dalam menguruskan serta membangunkan institusi wakaf. Ini bagi membolehkan mereka benar-benar faham tentang asas, konsep, pensyariatan dan pelaksanaan institusi wakaf terdahulu dan masa kini. Malah, kajian yang dilakukan mendapati bahawa antara punca kegagalan menguruskan harta wakaf yang berkesan ialah disebabkan sebahagian daripada mereka yang bertanggungjawab terhadap harta wakaf tidak memahami gelagat wakaf dalam konteks pembangunan masa lampau dan masa kini. Selain itu, sebahagian besar buku-buku berkaitan wakaf pula ditulis dalam bahasa Arab, Inggeris, Turki, dan Perancis, yang pastinya menjadi halangan kepada para pelajar, pentadbir dan masyarakat umum di Malaysia yang berminat untuk lebih mengetahui sejarah dan perkembangan institusi wakaf ini. Berdasarkan tiga isu tersebut, maka buku ini ditulis dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan rujukan-rujukan dalam Bahasa Arab, Inggeris, Turki, dan Perancis bagi membolehkan kandungan dibaca dan difahami dengan lebih berkesan oleh kolompok masyarakat di Malaysia yang lebih luas.

Penulisan buku ini dibuat dalam gaya bahasa yang mudah dan senang difahami oleh pelbagai golongan masyarakat. Ia dibuat dalam bentuk deskriptif bagi mengenal pasti pensyariatan, asal usul, peranan dan pelaksanaan wakaf tradisional dan wakaf tunai. Buku ini juga ditulis berorientasikan kaedah keperpustakaan dengan menggunakan kaedah penyelidikan data-data sekunder dan bahan-bahan berkaitan konsep wakaf tersebut. Temu bual juga telah dilakukan dengan pakar yang terdiri daripada ahli akademik, mufti dan pengamal wakaf yang terlibat secara langsung dalam mengurus dan mengendalikan institusi ini. Bagi tujuan kerahsiaan, nama-nama pakar yang ditemu bual tidak disebutkan. Hanya nama jawatan dan tarikh temu bual tersebut sahaja dinyatakan. Lantaran itu, buku ini sangat sesuai dijadikan rujukan oleh masyarakat Islam dan bukan Islam yang berminat untuk memahami dan mengenali konsep sebenar wakaf dan wakaf tunai menurut Islam. Buku ini juga sangat berguna bermanfaat kepada para pentadbir yang terlibat secara langsung dalam menguruskan dan membangunkan hartanah wakaf di Malaysia, khususnya pegawai-pengawai di Majlis-majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Jabatan Haji, Zakat dan Wakaf (JAWHAR), institusi-institusi berkaitan pembangunan ekonomi Islam seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPIEM), Yayasan Dakwah Malaysia (YADIM), Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) dan seterusnya para pelajar di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang menjalankan kajian mengenai pembangunan institusi berteraskan Islam.

Bab pertama dalam buku ini menjelaskan secara terperinci konsep dan asas pensyariatan wakaf yang bersumberkan al-Qur’an dan al-Hadith. Asas wakaf ini, kemudiannya diperkukuhkan lagi melalui pendekatan ijmak ulama. Ini secara langsung menjawab tuduhan para sarjana Barat yang mendakwa bahawa wakaf wujud hasil daripada inspirasi pengaruh luar. Seterusnya perkembangan dan peranan institusi wakaf di zaman awal Islam dan masa kini serta era kemerosotannya turut dijelaskan. Kesungguhan dan keinginan untuk membangunkan semula institusi wakaf ini telah membawa kepada kemunculan semula wakaf yang menggunakan wang atau lebih dikenali dengan wakaf tunai pada hari ini.

Bab kedua membahaskan secara terperinci susur galur pewujudan, amalan, perkembangan dan pengurusan wakaf tunai daripada perspektif sejarah. Seterusnya, pandangan ulama fiqh terhadap amalan wakaf tunai turut dijelaskan. Isu dan perselisihan pendapat dalam kalangan sarjana terhadap amalan wakaf tunai khususnya dalam era pemerintahan Uthmaniah yang telah membawa kepada pengharamannya juga telah dibincangkan. Jelasnya, wakaf tunai telah diterima secara meluas oleh masyarakat Uthmaniah disebalik dakwaan yang mekanismenya dicemari riba. Malah, perselisihan pendapat ini merupakan isu yang sangat kompleks yang masih tiada penyelesaiannya dan kekal bersifat tidak konklusif sehingga hari ini.

Bab ketiga pula memfokuskan perbincangan mengenai amalan, perkembangan dan pengurusan wakaf tunai pada hari ini. Tumpuan perbahasan diberikan terhadap instrumen, mekanisme, pelaburan dan sumbangannya dalam pembangunan sosioekonomi ummah. Kepelbagaian mekanisme dengan menggunakan wang fiat sebagai instrumennya turut dibahaskan dalam bab ini.

Seterusnya, bab keempat membahaskan dan menilai semula pentakrifan wang, perkembangan wang dan konsep penggunaan wang daripada perspektif Islam. Perselisihan pendapat mengenai penggunaan emas, perak dan wang fiat dalam kalangan sarjana turut dibincangkan.

Bab kelima pula memberi fokus terhadap wang fiat dan cabarannya. Pengertian wang fiat dijelaskan dengan memberi tumpuan terhadap tiga cirinya iaitu wang yang tidak disandarkan dengan sebarang nilai intrinsik, diurus secara legal tender dan nilainya ditentukan oleh kuasa pasaran. Ketiga-tiga ciri yang sedia ada dalam wang fiat ini telah membawa kepada dua cabaran yang harus dihadapi oleh pengurus wakaf. Pertama wang fiat tidak patuh syarak. Ini dilakukan dengan melakukan penelitian semula terhadap enam elemen wang fiat iaitu falsafah, penciptaan, nilai, fungsi, urus niaga dan keterlibatan riba. Elemen-elemen ini kemudiannya telah dihubungkan dengan maqasid wakaf iaitu untuk melakukan kebaikan (qurba) dan mendekatkan diri dengan Allah SWT (taqarrub). Hasilnya mendapati bahawa penggunaan wang fiat terbukti bukan sahaja membawa kepada kegagalan dalam sistem kewangan, tetapi aplikasinya juga jauh menyimpang daripada pensyariatan Islam. Cabaran kedua melibatkan tiga kategori. Ketiga, ciri-ciri wang fiat. Ketiga-tiga kategori ini merupakan cabaran sekunder yang juga perlu ditangani oleh pengurus wakaf.

Sementara bab keenam, iaitu bab yang terakhir dalam buku ini memberi tumpuan perbahasan mengenai strategi dan cadangan menguruskan wakaf yang menggunakan wang fiat sebagai instrumennya atau wakaf tunai yang menepati pensyariatan Islam. Empat pendekatan dalam strategi jangka pendek disarankan iaitu menukarkan terus kepada harta alih, emas sebagai instrumen wakaf, mewakafkan barangan fizikal, wakaf warisan dan pembiayaan luar. Sementara emas sebagai mata wang pula disarankan sebagai alternatif jangka panjang. Penggunaan emas sebagai mata wang dilihat sebagai alternatif instrumen wakaf tunai yang sangat ideal dan menepati ruang lingkup maqasid dan pensyariatan Islam. Bagi memastikan kedua-dua strategi tersebut dapat dilakukan dengan berkesan, maka prasyarat strategi Segitiga Pemasaran Perkhidmatan Islam (SPPI) perlu dijadikan asas dalam menguruskan institusi wakaf tunai ini. Dengan kata lain, sumber manusia yang akan mengendalikan wakaf tunai perlu didedahkan dengan pemasaran perkhidmatan yang menjadi tunjang dalam aktiviti wakaf tunai tersebut. Inti  SPPI ialah tauhidi, sesuai dengan maqasid wakaf tunai iaitu untuk melakukan kebaikan (qurba) dan mendekatkan diri dengan Allah SWT (taqarrub).

Wassalam.

Hj. Razali Bin Othman (PhD)

Updated:: 17/10/2017 [nuruliman]

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
89468993 | 89466156
03-89472048
C1516489250