Wakaf: Ciplakan Barat? | CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
» [ ABOUT US ] » From the Director's Desk » Wakaf: Ciplakan Barat?

Wakaf: Ciplakan Barat?

Segala puji bagi Allah SWT, pemilik sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, muslimin dan muslimat, serta para penjuang Islam yang sentiasa mendukung dan menegakkan agama Allah yang Maha Benar.

Wakaf secara maknawi telah wujud sebelum kehadiran Islam lagi. Malah, amalan dan sistem perundangan berteraskan kebajikan seperti res sacraepiae causae dan fidei commissum telah lama diamalkan dalam kalangan masyarakat Byzantin dan Rom. Amalan dan sistem perundangannya dikatakan mirip kepada amalan serta sistem perundangan wakaf yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Islam.

Justeru, orientalis Barat telah mendakwa serta menuduh bahawa wakaf diwujudkan menerusi tamadun Barat. Persoalannya, apakah sebenarnya asas pembentukan amalan dan sistem perundangan res sacrae, piae causae dan fidei commissum? Apakah dengan melihat kepada persamaan daripada aspek amalan dan struktur perundangannya, wakaf dikatakan wujud hasil pengaruh dua kerajaan silam tersebut? Berlatarbelakangkan senario di atas, buku ini ditulis dengan matlamat untuk mencapai dua tujuan. Pertama, mengenal pasti asas kewujudan amalan dan sistem perundangan berkenaan. Kedua, menganalisis hubungan sistem perundangan res sacrae, piae causae dan fidei commissum dengan wakaf.

Dapatan buku ini membuktikan secara ilmiah bahawa amalan dan sistem perundangan wakaf sebenarnya wujud berasaskan tasawwur Islam, bertunjangkan al-Quran, al-Sunnah Rasulullah SAW dan ijma’ ulama. Sekaligus, menolak dakwaan orientalis Barat yang menuduh serta mendakwa bahawa amalan dan sistem perundangannya dicipta daripada tamadun Byzantin atau Rom.

Penulisan buku ini dibuat dalam gaya bahasa yang mudah dan disediakan dalam bentuk deskriptif bagi menjawab tuduhan dan dakwaan tersebut. Oleh itu, buku ini sangat sesuai untuk dijadikan bahan bacaan awal oleh masyarakat Islam dan bukan Islam yang berminat untuk mengenali dan memahami falsafah wakaf menurut Islam. Harapan penulis, buku ini akan dapat mendidik serta memberi kefahaman sebenar kepada masyarakat tentang kewujudan dan kepentingan wakaf. Lebih penting lagi, buku ini diharap dapat membantu setiap umat Islam untuk memenuhi tanggungjawab mengembalikan wakaf sebagai sumber pembiayaan ummah yang penting setelah sekian lama ia dipinggirkan daripada arus pengurusan perdana.

Wassalam.

Razali Othman, PhD.

Updated:: 17/10/2017 [nuruliman]

MEDIA SHARING

CENTRE FOR MANAGEMENT OF WAQF, ZAKAT AND ENDOWMENT (WAZAN)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
89468993 | 89466156
03-89472048
C1531820548